Sunday, May 18, 2008

Sembang-sembang Umum Mencari Bakal Suami

[Klik Disini]
Oleh TokDdeka

Salam.

Maaf mencelah, sekadar memberikan pandangan.

Telah berlaku banyak kemusnahan disebabkan oleh ‘budaya bangsa’ sendiri. Pepatah ‘Perigi Mencari Timba’, yang entah dari mana datangnya, hanyalah satu pepatah yang cuba menghina kaum wanita yang mencari suami. Malang sekali, pepatah ini begitu kuat tertanam dalam hati dan jiwa sesetengah orang-orang kita yang mengaku Islam, yang meletakkan pepatah itu lebih tinggi kedudukannya daripada segala dalil-dalil yang sahih.

Komentar tambahan kepada artikel TD....(oleh thtl)

Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya, pada Kitab Nikah mengujudkan satu bab khusus yang berjodol," Wanita menawarkan dirinya pada lelaki soleh". Dalam bab itu diturunkan satu hadith di mana Anas, anak perempuannya dan Tsabit alBunnani berada di sisi Nabi SAW, lalu datang seorang wanita, dan dia tiba-tiba menawarkan dirinya kepada RasuluLlah saw. Belum Nabi memberi jawapan, putri Anas (bin Malik) mencela perempuan tsb sebagai tidak ada sifat malu. Tapi ayahnya Anas mengherdik anak gadisnya dan berkata, " dia lebih baik dari kamu, dia berhajatkan Nabi lalu menawarkan diri kepada beliau."
[aljaami' alsahih: no 4726]

Rasulullah SAW tidak pernah menghina wanita yang menawarkan diri untuk dinikahi oleh baginda, walaupun Aisyah r.a. dengan terang terangan mengakui bahawa dia sangat cemburu dengan wanita itu. Ternyata, Rasulullah SAW tidak melindungi perasaan cemburu itu, dan tidak pula baginda melarang – agaknya itu adalah sifat semulajadi kaum wanita yang kaum lelaki kena hidup dengannya, serta membendungnya dengan bijaksana sebagai seorang pemimpin.

Janganlah pula kaum lelaki itu menghina apa yang TIDAK DIHINA oleh Rasulullah SAW. Wanita-wanita yang BERANI menyatakan hasratnya terhadap seseorang lelaki dengan cara yang syarie adalah tersangat mulia. Inilah wanita yang tiada niat untuk memesongkan lelaki dengan daya penarik yang ada padanya.

Sesungguhnya, kaum wanita itu SANGAT BERUPAYA untuk memesongkan lelaki dengan keindahan yang ada pada batang tubuhnya, jika mereka memilih untuk berbuat demikian. Lantaran, timbullah pula perumpamaan ‘Pisau Cukur’. Namun, kemuliaan wanita itu terserlah apabila mereka TIDAK MENGGUNAKAN kelebihan itu, walaupun mereka boleh jika mereka memilih untuk melakukannya.

Sayang sekali, tidak kurang juga wanita yang menggunakan peluang itu sepenuh-penuhnya, dan tidak kurang juga lelaki yang terperangkap. Tidak juga kurangnya lelaki sebagai pemerangkap dan wanita sebagai yang terperangkap. Semoga kita semua tidak tergolong dalam kumpulan pemerangkap atau terperangkap itu, serta dilindungi oleh Allah Taala, Tuhan yang bersifat sebaik-baik Pelindung.

Betapa dahsyatnya persepsi sesetengah orang terhadap pernikahan, yang meletakkan nilai rumahtangga itu sama dengan nilai mahar dan majlis perkahwinan yang bakal menyusahkan ramai orang. Kononnya itu hanya berlaku sekali seumur hidup. Pada ambo, ini KARUT.
Sedangkan apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW adalah sebaliknya.

Pernikahan yang sepatutnya begitu mudah, tiba-tiba menjadi sesuatu yang begitu sukar dan membebankan, terutama kepada pasangan suami isteri yang baru ingin memulakan hidup berumahtangga, tetapi telahpun dibebani dengan hutang majlis perkahwinan, yang tidak mungkin dapat dilangsaikan dalam masa setahun dua hidup baru mereka. Seronok benarkah para tetamu majlis perkahwinan menikmati hidangan sambil berhibur dengan pelbagai kemunkaran, kemudian pulang meninggalkan sisa yang mesti dibersihkan oleh pasangan yang baru ingin belajar hidup sebagai suami isteri? Betul kah cara ini?

Sesungguhnya, kebahagiaan rumahtangga itu TIDAK BERLAKU pada hari pernikahan, TIDAK BERLAKU pada hari majlis perkahwinan, tetapi berlaku setelah pasangan suami isteri itu mula diselubungi oleh rahmat Allah Taala yang tiada hadnya, apabila segala perasaan kasih dan sayang serta belas kasihan antara keduanya mula disuntik oleh Allah Taala ke dalam hati sanubari mereka (rujuk Ar-Rum, 21). Akan turunkah rahmat Allah Taala itu jika pernikahan itu dimulai dengan sesuatu yang agak keterlaluan, yang kadang-kadangnya berunsurkan kemunkaran?

Nyatakanlah hasrat yang murni dan bersih itu. Berpromosilah. Berkempenlah. Bercari-carianlah. Beristikharahlah. Berdoalah.

Bila dah jumpa, berpada-padalah melaksanakannya.

Wallaahu a’lam.

No comments:

Post a Comment

Biarlah dgn berilmiah...