Friday, May 16, 2008

Bodoh Punya SMS!

Bismillahhirrahmanirrahim


SMS Uji Ilmu Hitam Karut!
Islam Itu Mudah - Friday, 16 May 2008

Web2 IQ, 16 Mei (zain-ys) - Mungkin anda juga pernah menerima SMS ini. SMS yang memberi amaran bahawa jangan sekali sekala menerima panggilan dari nombor yang disertakan. Kononnya ia SMS dari Indonesia. Ia didakwa dari sekumpulan pengamal ilmu hitam yang sedang menguji ilmu mereka melalui telefon.

Akibatnya jika mengangkat panggilan berkenaan ialah mulut akan berbuih dan kemudian nyawa akan melayang. Penyebar SMS itu mendakwa, di Indonesia sudah 9 orang yang mati akibat menjawab panggilan ini. Manakala baru tadi di Puchong sudah 2 orang yang telah menemui ajal. Demikian dakwa SMS ini.

Seperti SMS-SMS berantai yang karut, di akhir mesej pasti ada "TOLONG SEBARKAN MESEJ."

Menurut Harian Metro hari ini, pencipta dan penyebar pertama SMS maut ini adalah remaja yang berada di Sumatera Selatan dan Kepulauan Riau Indonesia. Dia telah dikenal pasti dan ditahan oleh pihak keselamatan di sana.

Menurut remaja berkenaan, dia hanya untuk tujuan gurauan kepada rakan-rakannya. (zain-ys 4 web2 IQ)

Berikut ini adalah petikan penuh SMS yang disebarkan:
KPD SUME KWN2 YG DIKASIHI.JIKALAU ANDA MENDPT PNGGILAN TELEFON YG BRNOMBOR PANJANG Cnth:+62852731520946 DAN NMBR ITU BRWARNA MERAH,DIHRAP2 SGT JGN DIANGKT DAN DIJWB PANGGILAN ITU.INI KERANA DI INDONESIA SKRG,SEKUMPULAN PENUNTUT ILMU HITAM SDG MENGUJI ILMU MEREKA MELALUI TELEF0N.JIKA SESIAPA YG MENJWB PNGGLAN ITU MULUT AKAN BRBUIH DAN AKAN MATI SLPS ITU.DI INDONESIA SDH 9 ORG MATI DAN MLM TD DIPUCHONG 2 ORG MATI.INI BNR2 TRJADI.TOLONG SEBARKAN MSG


Berikut ini pula adalah laporan Harian Metro hari ini:
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Mutakhir/20080516081052/Article

KUALA LUMPUR: Menggemparkan! Ramai pengguna telefon bimbit mula panik berikutan penyebaran SMS yang meminta orang ramai berhati-hati dengan panggilan santau atau ‘tarik nyawa’ yang kononnya boleh membunuh mereka sejurus menjawab panggilan itu.

Lebih menakutkan apabila kandungan SMS itu mendakwa panggilan maut itu sudah meragut sembilan nyawa di Indonesia sejak bulan lalu dan kini mula menular kepada jutaan pengguna telefon di negara ini bagi menagih korban terbaru.

Kemunculan SMS peringatan berhubung panggilan maut yang kini amat digeruni penduduk Indonesia dikesan mula diterima pemilik telefon bimbit di negara ini sejak minggu lalu dengan amaran supaya tidak menjawab panggilan telefon daripada nombor melebihi lapan angka itu.

Malah, panggilan terbabit yang turut digelar di Indonesia sebagai panggilan santet, deringan syaitan atau telefon maut, didakwa angkara pengamal ilmu hitam yang kononnya mahu menguji tahap keberkesanan ilmu hitam dipelajari.

Berdasarkan laporan media utama Indonesia, penerima panggilan itu bakal menjadi mangsa ‘kes pembunuhan jarak jauh’ didalangi dukun ilmu hitam yang menghantar syaitan atau jin melalui panggilan telefon untuk membunuh mangsa.

Bagaimanapun, dakwaan terbabit dianggap tidak berasas kerana tiada yang dilaporkan mati setakat ini berkaitan penerimaan panggilan maut yang kini merebak ke Malaysia, dipercayai dibawa rakyat negara berkenaan.

Siasatan dilakukan pihak berkuasa Indonesia mendapati nombor pengirim SMS itu berasal dari Sumatera Selatan dan Kepulauan Riau, Indonesia.

Susulan maklumat dikumpulkan, seorang remaja perempuan yang disyaki mencipta dan menghantar SMS terbabit sudah ditahan minggu lalu oleh polis Indonesia di Riau.

Selepas disoal siasat, remaja terbabit mengaku menyebarkan SMS itu hanya untuk gurauan kepada rakannya.

Perkara itu didedahkan Ketua Bahagian Umum Direktorat Jenderal Pos dan Telekomunikasi Indonesia, S Dewabrata kepada media, Selasa lalu, yang mendakwa SMS terbabit dipercayai ada kaitan dengan usaha pihak tertentu bagi mengaut keuntungan selain meningkatkan jumlah pelanggan talian prabayar.

Bagaimanapun, kegemparan mengenai kes itu berterusan apabila laman web berita Kompas.Com semalam melaporkan, seorang pegawai bank ABN di Jalan Petamburan, Jakarta, menjadi individu terbaru menerima panggilan berkenaan selepas M Fani Bratawijaya, 25, sebelah tengah hari.

Pejabat Harian Metro di sini, Melaka dan Seremban turut dihujani panggilan telefon bertanyakan mengenai SMS terbabit.

Mesej sepanjang 73 perkataan itu menyatakan kumpulan terbabit akan menghubungi sesiapa menerusi talian antarabangsa secara rambang dan sebaik saja mangsa menjawab panggilan itu mereka kononnya akan mati terkena sihir.

Pengguna telefon bimbit talian prabayar, Ismail Che Nordin, 42, turut melahirkan kegelisahan selepas menerima SMS terbabit sebaik tiba di pejabatnya di Taman Segar, Cheras, pagi semalam.

Menurutnya, kemunculan SMS itu boleh mencetuskan ketakutan kepada orang ramai yang menyangka panggilan santau benar-benar wujud dan boleh mendatangkan malapetaka kepada pemilik telefon bimbit.

“Lebih menakutkan apabila SMS terbabit mendakwa dua mangsa di Puchong sudah mati dan meminta disebarkan kepada umum,” katanya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat di Selayang di sini.

Di SEREMBAN, seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali Sufiah berkata, dia mengetahui mengenai penyebaran SMS itu daripada beberapa rakan sekerjanya sejak beberapa hari lalu.

Katanya, dia menerima SMS itu petang semalam yang mengingatkannya supaya mengambil langkah pencegahan awal apabila menerima panggilan daripada kumpulan yang dikatakan sedang menguji ilmu hitam.

“Kami mengharapkan pihak yang berkenaan menyiasat penyebaran SMS terbabit kerana boleh menjejaskan akidah kalau ada orang yang percaya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Dia juga berharap supaya mereka yang menerima SMS itu tidak menghantarnya kepada orang lain kerana sukar diterima akal.

“Bagaimana orang yang menulis SMS itu boleh mengetahui berapa ramai yang sudah meninggal dunia sedangkan kes seperti itu tidak pernah dilaporkan media, malah ajal manusia ditentukan Tuhan bukan kerana menjawab panggilan telefon,” katanya.A
Last update : 16-05-2008 16:20

1 comment:

  1. haha guwe pun terima msj yg sama. kt YM pun Friendster pun...semua ada.

    Guwe pun xphm la....karut marutnya kita ni.

    samala mcm holy water, hantu susu la hantu kueh la...pompuan rambut pjg la..dll dulu2 tu.

    ReplyDelete

Biarlah dgn berilmiah...