Monday, May 05, 2008

Kelebihan Dari Ilmu Hadis

Bismillahirrahmanirrahim


Apakah kelebihan bagi mereka yang mempelajari hadis dan ilmu-ilmu berkaitan dengannya?


Jawapan:

Ya, memang terdapat beberapa kelebihan, di antaranya:


Pertama:

Rasulullah SAW telah mendoakan secara khusus kepada mereka yang mempelajari hadis baginda SAW dengan sabdanya:

Maksudnya: Semoga ALLAH memberikan cahaya kepada seseorang yang mendengar hadis daripadaku lalu menghafaznya sehingga dia menyampaikannya kepada orang lain[1].


Kedua:

al Syafie pernah menyebut:

Kamu semua hendaklah mendampingi orang-orang yang mempelajari hadis. Sesungguhnya mereka ialah orang yang paling tepat amalannya dalam kalangan manusia
[2].


Ketiga:

Menurut salah seorang pengkaji hadis pada masa ini, Abd. Salam Allush:

Tidak ada ilmu yang lebih bermanfaat - selain berkaitan Al Quran - daripada mempelajari hadis. Sesungguhnya di dalam hadis itu terdapat tauhid, asas-asasnya, sifat-sifat ALLAH dan jenis-jenisnya, nama-nama ALLAH dan maknanya, jawapan terhadap dakwaan para mulhid (atheis), kisah-kisah umat terdahulu, cerita orang-orang zuhud, peringatan daripada para Nabi terdahulu, mukjizat bagi ahli bahasa, sumber bagi ahli fiqh, peristiwa-peristiwa dan peperangan Baginda, hukum-hakam yang Baginda SAW putuskan, maklumat tentang isteri-isterinya, anak-anaknya, keluarganya dan para sahabatnya, kisah hidup mereka (para sahabat), kelebihan-kelebihan mereka, umur mereka, keturunan mereka, keadaan serta kata-kata mereka, mazhab dan fatwa-fatwa mereka[3].


Keempat:

Mempelajari serba sedikit tentang ilmu pengkajian hadis dapat membantu seseorang untuk membezakan di antara hadis-hadis yang sahih daripada yang palsu.


Kelima:

Menurut Mohd Asri B. Zainul Abidin:

Mengetahui sedikit sebanyak disiplin ilmu hadith membantu kita mendekati dan memahami hadith. Orang awam juga sangat penting mendekati ilmu ini. Sesetengah golongan yang menyandarkan diri kepada agama kadang-kadang tidak bertanggungjawab terhadap hadith-hadith Nabi SAW. Kadangkala mereka membaca hadith yang palsu, atau membuat huraian yang salah terhadap hadith. Orang awam yang tidak mempunyai asas-asas pengetahuan dalam ilmu hadith akan mudah percaya dan terpedaya. Jika mereka dibekalkan dengan ilmu hadith ini, mereka mungkin akan berfikir semula atas sesuatu perkara berkaitan hadith yang dinyatakan, atau mungkin boleh menyoal kembali kenyataan yang dibuat[4].



Keenam:

Mempelajari hadis akan menjadikan kita memahami bagaimana Al Quran ingin diterapkan dan diamalkan di dalam kehidupan. Seluruh kehidupan Rasulullah SAW adalah merupakan terjemahan serta huraian kepada isi kandungan Al Quran. Oleh itu mereka yang ingin menjadikan diri mereka sebagai golongan yang mempraktikkan isi Al Quran hendaklah mempelajari dan mengamalkan hadis-hadis Rasulullah SAW. Isteri Rasulullah SAW, Aisyah pernah berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya akhlak Nabi ALLAH SAW adalah Al Quran[5].


Ketujuh:

Dengan mempelajari hadis, kita akan dapat mengetahui bagaimanakah Rasulullah SAW beribadah lalu kita dapat mencontohi Baginda SAW. Kita yakin bahawa ibadah yang dilakukan Baginda SAW itulah yang terbaik dan berpeluang untuk diterima di sisi ALLAH.





Untuk Lebih Lanjut Sila Klik [disini]


--------------------------------------------------------------------------------

[1]Hadis Sahih riwayat Abu Daud (3660) dan imam-imam lain dengan lafaz yang sedikit berbeza.

[2]Al Adab al Syar’iyyah – Ibn Muflih – jilid 1 – muka surat 231 – cetakan kedua 1996 – Muassasah al Risalah, Lubnan.

[3]Ilm Zawaaid al Hadith – Abd. Salam Allush – muka surat 13 – cetakan 1995 – Dar Ibn Hazm, Lubnan.

[4]Pendahuluan buku Selangkah Ke Arah Mengenal Al-Sunnah terbitan Karya Bestari. Buku ini adalah panduan ringkas yang amat baik berkenaan asas-asas yang perlu diketahui tentang ilmu hadis.

[5]Hadis sahih riwayat Muslim (hadis no. 1773).

1 comment:

Biarlah dgn berilmiah...