Saturday, May 17, 2008

Untuk Mempelajari Hadith/Sunnah, Anda Perlu....

Bismillahhirrahmanirrahim

JH-ASAS-006- Untuk Mempelajari Hadith/Sunnah, Anda Perlu.....

1- Menghadirkan niat untuk mencari keredhaan Allah SWT. Sentiasa hadirkan di dalam hati sedaya upaya bahawa kita mempelajari al-Sunnah kerana ia adalah sebahagian daripada mempelajari agama Allah SWT dan mengharapkan ganjaran daripadaNya. Bukan kerana anda ingin jadi seseorang yang 'lain' daripada orang lain atau menjadi satu kumpulan yang lebih 'tinggi' daripada masyarakat yang tidak mempelajari sunnah.

2- Memahami bahawa ilmu tentang al-Sunnah adalah terlalu luas. Ia perlukan kepada kesabaran dan kegigihan. Ia juga tidak dapat diperolehi sehari dua malah ia adalah proses berterusan sepanjang hayat. Ia juga perlukan ilmu asas dan persediaan yang kukuh sebelum mampu mengeluarkan pendapat. Semangat semata-mata tidak cukup.

3- Masa yang mencukupi untuk mempelajarinya dengan pelbagai cara. Kesibukan seringkali menjadi penghalang dan menyebabkan peminat-peminat al-Sunnah kecewa kerana tidak dapat menambah ilmunya tentang al-Sunnah. Namun begitu berusahalah untuk mendapatkannya walaupun sedikit asalkan berterusan.

4- Wang untuk membeli buku-buku berkaitan al-Sunnah. Tidak semua maklumat tentang al-Sunnah boleh didapati dengan percuma dan tidak semuanya ada di dalam Internet. Sekiranya diri tidak bersedia untuk memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli buku-buku al-Sunnah, ini sudah pasti merencatkan proses mendalaminya.

5- Memilih waktu yang sesuai untuk mempelajarinya agar tidak cepat letih dan bosan. Ini amat penting kerana ada di antara kita yang tidak memperdulikan keadaan diri sama ada cergas atau tidak ketika mendalami al-Sunnah. Jika kita membaca, pilihlah waktu yang sesuai agar apa yang dibaca dapat difahami dan diingati dengan baik.

6- Memperuntukkan masa untuk menghadiri kuliah-kuliah yang berkaitan. Jika kita tidak mempunyai masa untuk menghadirinya, pastikan kuliah-kuliah yang dirakamkan ada dalam simpanan untuk didengari atau ditonton pada waktu yang mengizinkan. Jangan pula kita memilih untuk hanya menghadiri kuliah orang tertentu sahaja, kerana ilmu itu luas dan para ulama hadith salaf menuntut ilmu daripada beratus malah beribu orang guru, walaupun kadangkala guru mereka mempunyai sedikit kekurangan.

7- Mencari rakan-rakan yang mempunyai minat terhadap al-Sunnah untuk berbincang tentang apa yang telah dipelajari. Ini amat penting kerana tidak mungkin kita dapat mendalami semua aspek tentang al-Sunnah dalam masa yang singkat. Jalan penyelesaian masalah ini adalah dengan berbincang dan bermuzakarah sesama pencinta al-Sunnah agar ilmu yang ada pada diri masing-masing dapat dikongsi. Ia juga dapat mendidik kita dengan sikap merendah diri dan dapat menerima pendapat orang lain. Sikap 'lone ranger' kadangkala membawa kepada 'over confident' yang akhirnya boleh membawa kepada sikap negatif iaitu memandang rendah kepada orang lain.

8- Konsisten atau istiqamah dalam proses mendalami al-Sunnah. Ini bermakna anda tidak perlu terlalu gopoh pada peringkat permulaan kerana sifat sebegini kebiasaannya tidak akan bertahan lama. Apa yang penting ialah istiqamah walaupun sedikit. Contohnya anda boleh membaca beberapa potong hadith pada setiap hujung minggu. Ini lebih baik daripada anda terus membaca berpuluh-puluh hadith kemudian terus meninggalkannya berbulan-bulan. Oleh sebab itu ulama hadith salaf menghabiskan masa berpuluh tahun dalam menuntut ilmu secara konsisten...bandingkan dengan kita di zaman ini yang baru belajar tapi sudah ingin menjadi muhaddith!

9- Mencatat apa sahaja kemusykilan yang terlintas di fikiran agar ia dapat dikaji pada masa yang lain. Mungkin anda sendiri boleh mengkajinya apabila mempunyai masa lapang, atau anda boleh bertanya kepada ahli ilmu tentang kemusykilan tersebut. Sekiranya anda tidak mencatatnya, ia mungkin hilang begitu sahaja dan tidak dapat diselesaikan segera.

10- Mendampingi ahli ilmu yang diharapkan dapat menyelesaikan apa yang tidak kita fahami tentang al-Sunnah. Dengan kemudahan teknologi moden masa kini, jarak tidak lagi menjadi penghalang untuk kita mendampingi mana-mana ahli ilmu.

11- Memilih pasangan hidup yang akan memahami minat kita terhadap al-Sunnah. Namun sekiranya telah berkahwin, cubalah untuk menanamkan minat terhadap al-Sunnah dalam diri pasangan dan juga anak-anak. Lakukanlah sekadar mampu.

12- Jangan gopoh dalam memahami maksud sesuatu hadith. Luaskan pembacaan dan banyakkan perbincangan. Ini penting agar kita tidak tersalah dalam menyatakan sesuatu sebagai ‘sunnah’ sedangkan ia pada hakikatnya tidak sunnah atau sebaliknya. Ia juga boleh mengelakkan kita menyalahkan orang lain atau melabelkan mereka dengan gelaran 'tidak mengikut sunnah' atau 'tidak mengikut dalil', sedangkan pada hakikatnya kita yang tidak faham permasalahan yang sebenar.

13- Bersedia untuk mengubah sikap dan amalan sekiranya apa yang kita lakukan selama ini tidak bertepatan dengan al-Sunnah. Sesungguhnya amalan terhadap al-Sunnah amat perlu bagi menguatkan hubungan kita dengan al-Sunnah. Begitu juga kita bersedia untuk mengubah pendapat kita yang tidak tepat kepada pendapat yang lebih tepat tanpa rasa takabur atau ego.

14- Mencari maklumat tambahan tentang rupa paras dan peribadi Rasulullah SAW agar kita dapat mengenali tuan punya al-Sunnah itu dengan lebih dekat. Buku yang elok dibaca adalah buku al-Syamaail al-Muhammadiyyah karya al-Tirmidzi (279H). Buku ini telah pun diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dan juga Inggeris.

15- Berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar dipermudahkan proses mendalami al-Sunnah. Kita juga perlu sentiasa berdoa agar dikurniakan rasa minat ke arah menambah ilmu tentang al-Sunnah.

والله أعلم

sumber

No comments:

Post a Comment

Biarlah dgn berilmiah...