Monday, May 12, 2008

Memenuhi Undangan Prihatinkah Kita?

Bismillahhirahmanirrahim


Undangan ke sesuatu majlis atau pesta keraian seperti jamuan makan atau majlis perkahwinan adalah sesuatu yang wajib dipenuhi. Betapa golongan zaman sekarang makin berkurangnya nilai dan tanggungjawab untuk memenuhi sesuatu undangan.

Rasulullah Solallahhu 'alaihi wa sallam bersabda: “Apabila seorang di antara kamu diundang untuk menghadiri pesta perkahwinan, maka hendaklah ia menghadirinya”. (Hadith Riwayat Muslim).

Sabda Nabi Solallahhu 'alaihi wa sallam lagi: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah di mana yang diundang hanyalah orang-orang kaya saja sementara orang-orang yang miskin tidak diundang. Dan barang siapa yang tidak memenuhi undangan, maka berarti ia telah berbuat durhaka kepada Allah dan Rasul-Nya”. (Hadith Riwayat Muslim). Lihatlah betapa baginda amat menekankan terhadap kewajipan memenuhi sesuatu undangan dan ini bukanlah sesuatu yang kecil, malah ia amat besar dan beroleh dosa jika dipandang remeh.

Sikap dan perangai yang tidak mengambil peduli atau tidak memenuhi satu undangan tanpa alasan yang munasabah seperti malas dan alasan lain yang kelihatan sangat tidak wajar bagi seorang muslim. Ini menunjukkan perangai yang tidak matang dan tidak bertanggungjawab.

Hal ini sering terjadi terhadap golongan muda mudi yang tidak menghiraukan tanggungjawab tersebut. Golongan ini mengambil sikap tidak peduli terhadap sesuatu undangan terutamanya undangan dari rakan yang kurang rapat atau rakan yang bukan sekepala dengannya atau mereka yang menyimpan sifat hasad yang dicela dan juga yang mempunyai sikap ego iaitu menjaga status diri dengan tidak menghadiri majlis yang kononnya tidak setaraf dengan pangkat atau kuasanya.

Kehidupan yang sibuk dengan kerja dan jadual harian penuh dan tidak sempat untuk menghadiri undangan adalah tidak mengapa. Namun, kemudahan komunikasi yang ada sekarang tidak mungkin untuk dijadikan alasan susah untuk berhubung bagi memberitahu keuzuran, kemaafan atau sebab-sebab yang menyebabkan kita tidak dapat hadir ke majlis tersebut.

Paling kurang pun, hantarlah pesanan ringkas memberitahu tidak dapat hadir yang hanya mengambil masa 2-3 saat jika terlalu sibuk. Jadi, tidak hairanlah jika seorang yang menjemput kita dan tidak dapat hadir serta tidak memberitahunya dia akan memarahi atau mungkin kecewa dengan ketidakhadiran kita. Orang lain mengharapkan kehadiran anda, tetapi anda sendiri yang tidak hadir tanpa sepatah dua berita. Di sinilah terletaknya sikap keperihatinan kita, di sinilah sebenarnya untuk orang lain menilai yang mana yang boleh dijadikan kawan atau yang tidak boleh dijadikan kawan..

Justeru itu, memenuhi undangan adalah satu kemestian dan satu kewajipan kecuali mempunyai hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, satu khidmat pesanan ringkas ataupun sms dari anda yang tidak dapat menghadiri sesuatu majlis orang lain akan membuatkan orang tersebut mengetahui sikap peduli dan keperihatinan anda.

Tulisan ini menyeru kepada semua agar tunjukkan sikap peduli kita terhadap sesama muslim terutamanya dalam perkara memenuhi undangan memandangkan tidak lama lagi musim kahwin akan tiba. Letakkanlah keutamaan terhadap undangan tersebut, jika tidak dapat hadir, beritahulah sepatah dua. Anda akan dihargai samaada dapat memenuhi sesuatu undangan ataupun dapat memberitahu anda tidak dapat hadir. Tunjukkanlah sikap peduli dan rasa tanggungjawab kita demi menjaga perpaduan dan ukhwah umat Islam.


Sumber: [klik]

No comments:

Post a Comment

Biarlah dgn berilmiah...