Wednesday, May 27, 2009

Biarlah Beradab Wahai Budak

Tulisan ini membuatkan aku bermuahasabah balik pada diriku. Ya kadang kala mungkin secara tidak sedar perilaku kita seperti kebudak-budakkan, sungguh bahasa itu memperwatakkan jiwa yang berada didalam dirinya....

Alhamdulillah dan Jazakallah hu khairan kathira.. ya Akhi..


Oleh : Yussamir Yusof / yawausin
www.yussamir.com


“Biarlah beradab”. Kita boleh mengkritik jika apa yang kritik itu betul. Tetapi cara kita mengkritik itu juga harus ada caranya. Masyarakat Malaysia penuh dengan sopan-santun dan budi bicara. Masyarakat kita terkenal dengan budaya tersebut. Kita berbangga budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia yang sebegitu.

Kadang-kadang kita terlupa untuk memerhatikan tindak-tanduk kita. Kita suka sangat bercakap tanpa melihat adakah cara dan bahasa yang digunakan bersesuaian. Sejak kecil saya diajar apabila bercakap perlu lihat dengan siapa kita bercakap. Kalau orang tersebut orang dewasa, saya perlu berhati-hati menggunakan intonasi dan bahasa yang bersesuaian. Kalau sama umur dengan saya, caranya lain pula dan begitulah yang seterusnya.

Islam juga mengajar penganutnya untuk memerhatikan sekeliling sebelum berkata-kata. Jika bercakap dengan ibu-bapa ada caranya, begitu juga jika mahu menegur ibu-bapa ada kaedahnya.

“...maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff”, dan janganlah engkau menengking (dan/atau) menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” [al-Isra 17:23]


BERBUDI BAHASA

Kita perlu lihat bahawa kritik itu bukan atas dasar emosi. Kritikan itu harus di atas kewajaran dan kewarasan. Jika benar kita kritik atau menegur itu untuk kebaikan bersama, Alhamdulilah. Tetapi dalam masa yang sama kita harus tahu cara untuk mengutarakannya. Saya bagi satu analogi, “Seorang Ustaz sedang memberi ceramah di surau. Kemudian semasa sedang rancak memberi ceramah, beliau tersalah memetik ayat-ayat alQuran. Setelah habis ceramah kita berjumpa dengan beliau secara berdepan. – Alhamdulilah untuk langkah pertama sudah betul iaitu menegur bukan didepan orang ramai - Tetapi semasa kita menegur di depannya itu, kita menggunakan perkataan kasar dan beremosi. Maka langkah kedua itu kita sudah tersilap langkah dan disebabkan kejadian itu maka bertegang uratlah antara kita dengan ustaz tersebut.

Semuanya silap cara dan kaedah untuk menegur. Kita ada hak untuk menegur, tetapi kita tidak ada hak untuk menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sesuai pada orang yang mahu kita tegur. Kita belajar dari kesilapan, tetapi ingat sekali buat silap selama-lamanya akan diingati orang lain. Bak kata pepatah, “luka boleh kita ubati, tetapi parutnya tetap ada.”


PUISI BERTAJUK “SEORANG BUDAK”

Seorang budak yang tidak tahu apa-apa mula bersuara.
Dia bersuara sebab dia rasa dia sudah bagus.
Kita perhatikan sahaja gelagatnya.
Sungguh menghairankan dan menggelikan hati.
Katanya dia sudah dapat beribu-ribu.
Katanya dia sudah banyak buat kerja dari orang lain.
Dia bangga dan meninggi diri berkata, “Akulah yang terbaik.”

Kadang-kadang dia mengadu dia sering sakit-sakit.
Kita kata, apa kaitan penyakit kau dengan perangai kau?
Sungguh biadap bila bersuara, sungguh rimas dibuat diri semuanya.
Engkau tidak pernah diundang, kau datang kami terima dengan tangan terbuka.

Ah, sungguh bisa suara-suaramu.
Tapi kita sedar, kau hanya seorang budak.
Hingus masih lagi melekat dan meleleh di sini-sana.
Kita tidak kuasa untuk melayan perasan dan perangai anehmu.

Sebab kita tahu,
Itulah yang membezakan yang berakal dengan tidak.
Wahai akal, gunakannya sebaik mungkin.
Umurmu semakin lanjut dimamah usia.
Tetapi usahlah biarkan dirimu dilanjut pemikiran singkat.

Budak, kita sudah lama berkecimpung dalam dunia ini.
Kita yang membukanya, dan kita juga yang mengusahakannya.
Kita gembira tika itu bersama-sama dengan keluarga.
Tapi kini kau datang membuat onar,
Memalit duri dalam keluarga .

Adakah hanya keangkuhan sahaja yang boleh kau kongsikan bersama?
Kita sebenarnya rungsing memikirkan engkau.
Engkau tidak pernah disukai orang.
Sebenarnya orang suka memperalat diri kau.
Engkau berasa hebat, tetapi sebenarnya kepala kau singkat.

Budak, kita cakap ini terus terang untuk kau sedar siapa diri kau.
Engkau benar-benar virus dalam diri keluarga .
Ah budak, kau sekarang bercanda pula.
Mahu bermain buih di atas ombak.
Kau menyuruh orang memilih engkau atau tidak.
Hahaha..aku bertambah geli hati melihatnya.

Ah, engkau memang suka untuk berbuat begitu.
Sebab kita tahu kepala engkau memang singkat.
Kita doa, agar keluarga ini terus hidup,
Terus melaksanakan kerja-kerja yang ada.
Moga selamat semuanya...


Saya akhiri artikel ini dengan sebuah kata-kata dari Yahya bin Mu’adz (Taarikhul Baghdaad: 14/209) , katanya “Sebaik-baik perkara ialah: Perkataan yang lembut, yang dikeluarkan dari lautan yang dalam, daripada lidah seorang yang lemah-lembut.” Kerana bahasa memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia, oleh itu belajarlah untuk berbahasa dengan orang yang mengetahui dan juga dengan pengalaman. Moga kita sama-sama terus menggali budaya dan bahasa yang sesuai untuk kita tuturkan. Kerana BAHASA ITU ADALAH JIWA.

No comments:

Post a Comment

Biarlah dgn berilmiah...