Thursday, April 30, 2009

Fitnah Kiri Kanan..Depan Belakang

...Bismillahhirrahmanirrahim...

Sebelum aku memulakan ulang kaji untuk exam akhir sem, aku termenung sebentar dan dengan izin Allah juga aku terfikir dan membuatkan aku tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan diri ini?.

Alam dunia yang sedang kita tempuhi ini adalah tempat ujian dan menuai tanaman, tetapi bukanlah tempat untuk bersenang lenang dengan lekanya sehingga kita melupakan kehidupan yang kekal abadi dimana disana kita akan mengutip hasil buahnya.

Kerap kali kita leka dan lalai, mungkin faktor besarnya adalah persekitaran yang tidak mendidik jiwa untuk senantiasa mengingati hari Akhirat.

Terfikir juga aku, apabila aku bertemu dengan manusia-manusia yang sedang leka dengan kehidupan dunia sehingga menggangap remeh untuk menjadikan Islam sebagai acuan dalam kehidupan. Jadi bagaimana ingin aku mengajak mereka?.

Terfikir juga aku apbila aku berhadapan dengan mereka yang tertipu dengan amalan mereka tanpa berfikir dan merenung kembali "adakah amalan yang aku lakukan ini menepati dengan apa yang dikehendaki oleh Allah dan Rasulnya?" Jadi bagaimana ingin aku menyampaikannya?.

Terfikir juga aku apabila aku berhadapan dengan diri aku, mengapa engkau gemar memerhatikan perilaku manusia-manusia di sekitarmu dan menghukum mereka mengikut perkiraan dirimu saja sehingga kadang-kadang menimbulkan perasaan yang bukan-bukan kepada saudara kau sendiri(umat Islam disekeliling ku)? Sehinggakan aku tidak memikirkan diri sendiri, yang penting aku tegur dan sampaikan, tapi diri ini tetap juga tertipu dan mengikut hawa nafsu...apa semua ini!?.

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia. -Ar Ra'd ayat 11-

Apa yang perlu aku lakukan?

Timbul dihati ini untuk mengatakan engkau perlu berjihad!

Menentang hawa nafsu!

Melawan syaitan dan mengetahui tipu dayanya!

Ahh...! Berat sungguh aku rasakan...................................................

Ya Rabb..................
Ya Rabb..................
Ya Rabb..................

Selamatkan aku dari fitnah hidup dan mati.

Aku sungguh merasa tertekan dengan pelbagai perasaan yang menganggu jiwa ku ini,
dimana Engkau sendiri telah berkata.

dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya),

maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya. - Asy Syams ayat 7-10-


Untuk menyucikan jiwa inilah,
Aku perlu menghadapi segala rintangan,
Aku berharap pada Engkau Ya Rabb,
Agar bimbinglah aku,
Janganlah engkau mengabaikan aku,
Masukkanlah aku di kalangan orang-orang yang beruntung.

Monday, April 13, 2009

Benarkah Hamas menerima akidah syiah??

Sumber : Asyrafaziz.blogspot.com

Apabila kita mengatakan Syiah adalah sesat ,golongan Syiah pasti akan mengunakan hujah bahawa kononnya pemimpin Hamas menerima akidah syiah dan kerana itu Hamas sanggup bekerjasama dengan Iran supaya dengan cara itu Syiah dapat menutup pekong kesesatan mereka dimata umat Islam dengan berselindung disebalik perjuangan Hamas..Tetapi Benarkah Hamas menerima akidah syiah?



Video dibawah ini menjawab segalanya, bahawa Hamas tidak sesekali akan mengadaikan akidah yang suci murni semata-mata ingin berkerjasama dengan Iran..Dengarkan apa yang dikatakan oleh Tokoh Ulama Hamas dan juga mujahid Islam Syeikh Nizar Rayyan yang terkorban Shaheed pada 29 january akibat serangan Rejim zionist. Mari sama-sama kita melihat video dibawah ini:






Diakhir video ini kita dapat melihat gambar yang cukup menarik iatu Pemimpin Hamas Ismail Haniyah yang ketika itu berada di sebuah masjid di Iran,teapi beliau tidak mengikuti solat berjemaah bersama golongan syiah walaupun ketika itu ia berada di saf yang paling hadapan..Kenapa agaknya??mungkin kerena Ismail Haniyah mengetahui solat yang berimamkan golongan yang sesat seperti Syiah adalah tidak sah. wallahualam..

Jelas bagi kita Hamas tidak mengadaikan Akidah mereka dalam bekerjasama dengan Iran.dan Hamas adalah Ahlisunnah!

Kepada Iran terima Kasih kerana membantu Hamas walaupun dalam masa yang sama kamu bekerjasama dengan Amerika untuk menjahnamkan Afghanistan dan Iraq

Walaubagaimanapun jangan kamu ingat dapat merobek akidah Ahlisunnah dengan bantuan kamu terhadap Hamas kerena kami mengetahui tujuan sebenar bantuan itu adalah untuk menunjukan-nunjuk kononnya Iran adalah hero umat Islam tetapi dalam masa yang sama ia adalah batu loncatan bagi syiah untuk menyebarkan akidah sesat mereka kepada negara umat islam,

Gambar Syeikh Nizzar rayyan http://www.palestine-info.info/arabic/hamas/hewar/nizar.jpg

Saturday, March 28, 2009

Menelusuri Ciptaan Illahi...



Ketika ini aku dan 2 orang sahabat ku, mendaki bukit yang berhampiran dengan UiTM Dungun, kemudian menembusi hingga ke pantai ini, dengan hanya berkaki ayam. Apabila aku mendaki bukit, kebesaran Allah menusuk kedalam jiwaku, Allahhuakbar, Subhanallah. Risau juga sekiranya diganggu oleh makhluk Allah yang berniat jahat maka zikir selepas solat ini yang aku amalkan:

1- أَسْتَغْفِرُ اللهَ (ثلاثا) اَللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ، وَمِنْكَ السَّلاَمُ، تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَامِ.
1. “Aku minta ampun kepada Allah,” (dibaca tiga kali). Lantas membaca: “Ya Allah, Engkau pemberi keselamatan, dan dariMu keselamatan, Maha Suci Engkau, wahai Tuhan Yang Pemilik Keagungan dan Kemuliaan.” -HR. Muslim 1/414.-



Tidak begitu risau jika diganggu oleh makhluk ghaib, yang paling risau apabila diganggu oleh MAKHLUK ZAHIR yang boleh dilihat oleh mata kasar, seperti binatang buas. Tidak ka naya jika bertembung, A'uzubillah. Mesti ada yang berkata "Kerek betul x risau jika diganggu oleh makhluk ghaib". Pemahaman orang melayu tidak lain dan tidak bukan adalah seperti hantu, pontianak, pocong dan seumpa dengannya. Baik aku katakan, mereka itu merupakan adalah dari golongan-golongan Jin, yang telah menjadi Syaithan Laknatullah.

Adakah kita perlu TAKUT kepada mereka? Sedangkan mereka merupakan MAKHLUK ALLAH yang telah DILAKNAT. Mereka adalah MUSUH YANG NYATA! Apa perasaan anda apabila anda bertemu dengan MANUSIA yang anda MUSUHI dan anda BENCI? Mengapa tidak diterapkan perasaan itu apabila tiba-tiba perasaan anda menjadi SERBA TAKUT kepada MEREKA(Syaitan Laknatullah)? LupakaH anda akan Kekuasaan ALLAH yang MAHA HEBAT dan MAHA PELINDUNG? Bukankah Allah telah berfirman:

36. Dan jika syaithan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. -SURAH
41. Fushshilat-



Pengalaman ini begitu menarik, seperti orang asli lagaknya, dengan hanya berkaki ayam mendaki bukit dan menulusuri hutan-hutan bukit sehingga bertemu dengan pantai ini. Maka ini hasil fotografiku menggunakan Camera Handphone sahaja.











Saturday, March 07, 2009

Siapakah Memberi Rezeki?

Persoalan ini timbul apabila aku menerima satu pesanan ringkas daripada sahabat ku seperti berikut:

"Yaasin, Walqur anilhakim.. Innakalaminal mursalin..'Alasiraatim mustaqim.. Tanzilal azizirrahim.. Litunziraqaumamma unziraabaaa uhum fahum ghafilun.. Kirim surah Yaasin ini kepada 7 sahabat kte yg b'agama Islam..Insya Allah esok kita akan menerima khabar yang baik & rezeki yang melimpah ruah..moga2 hidup kita di dunia ini dirahmati dan mendapat petunjuk daripadanya..Insyaallah..AMIN YA RABBAL'ALAMIN.."


Jika kita perhatikan baik-baik setiap baris pesanan ringkas itu, akan kita dapati pesanan ringkas diatas mengandungi perkara yang boleh merosakkan aqidah kita. SYIRIK!

Sebabnya

...Kirim surah Yaasin ini....Insya Allah esok kita akan menerima khabar yang baik & rezeki yang melimpah ruah..

Ayat ini jelas-jelas mengatakan dengan sebab mengirim surah Yaasin ini menyebabkan rezeki akan melimpah ruah dan menerima khabar yang baik, sedangkan yang melimpahkan REZEKI dengan melimpah ruah adalah daripada Allah, bukannya SURAH YAASIN itu.

......Setiap Zakariya masuk untuk menemui Maryam di mihrab, ia dapati makanan di sisinya. Zakariya berkata: "Hai Maryam dari mana kamu memperoleh (makanan) ini?" Maryam menjawab: "Makanan itu dari sisi Allah." Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab.
(Surah 'Ali Imran ayat 37)

Katakanlah: "Siapakan yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan dari bumi?" Katakanlah: "Allah", dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata. (Surah Saba' ayat 24)

Dan bukannya dari Surah Yasin itu kita dimurahkan rezeki.

Jawapan kepada rakanku yang menghantar masage tersebut:
"Tak yah kirim pun tak pe...bukan sebab kita hantar masage tu, ayat2 Yaasin tu boleh bg kita rezeki dan dapat berita baik, TETAPI ALLAH yang memberi rezeki dan takdir yg baik...hati2 masage macam tu ada unsur2 b'baur syirik..."

Wallahhua'lam.-ISLAM PENELAMAT MANUSIA-

Apabila si Jahil berbicara, Isu Penggunaan Nama Allah Antara Aqidah dan Taklid Buta

Oleh: Ustaz Emran Ahmad
Sumber: http://ustaz.blogspot.com
Pelbagai isu ditimbulkan di Malaysia, apabila ianya berkait politik maka ianya pasti memeningkan dan berlaku perselisihan yang tidak berkesudahan kerana kekuasaan itu sungguh-sungguh membuatkan manusia sanggup berbunuhan.

Diriwayatkan daripada Tsauban ra. yang berkata telah bersabda rasulullah sallallahualaihiwasalam dengan sabdanya yang bermaksud : " Sesungguhnya apa yang aku risaukan ke atas umatku ialah pemimpin yang menyesatkan..." (hadis riwayat Tirmidzi dalam bab Fitan no.2229) disebut darjatnya Hasan Sahih.

Orang bercakap soal agama di mana-mana termasuk Menteri-Menteri yang merujuk agama hanya daripada Kamus dan Ensiklopedia (TV3 - Buletin Utama,2 March 2009)

Para ulama' dijadikan bahan senda gurau dan diperleceh, khasnya oleh golongan yang merasa diri mereka intelektual dan cerdik namun hakikatnya jahil di dalam agama.

Masyarakat awam lebih parah, mereka pula mengambil ulama sebagai tempat mendapatkan keberkatan bukan rujukan. Disalami ulama untuk mengambil berkat,diciumi tangannya, diminum air jus tok guru dan di ambil air kolah surau dan pondoknya untuk dibuat air ubat.






Berjumpa ulama sekadar untuk di doakan, mengambil berkat dan menaruh harapan moga disembuhkan, diberi rezeki atau dibantu di dalam kehidupan atas berkat ulama tadi.





Ulama' tidak menjadi tempat rujukan ilmu, tidak di ambil daripadanya panduan untuk menjalani kehidupan yang diredhai oleh Allah swt melalui pertunjuk Al-kitab dan as-Sunnah.

Isu Allah, bolehkah Agama lain menggunakan Nama "Allah" merujuk tuhan mereka ?



Di dalam Islam kita tidak disuruh mengorek rahsia orang sehingga kepada apa yang ada di dalam hati orang lain seperti kita tidaklah disuruh menyoal apakah motif pihak yang mahu menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka.

Kita apabila melihat isu ini dengan ilmiah, mengetahui bahawa kalimah "Allah" itu umum merujuk kepada tuhan bagi semua manusia baik yang Muslim, bukan Muslim, manusia dan haiwan serta seluruh hidupan dan kewujudan.

Perbezaannya ialah hanya pada Siapa layak disebut Allah ? Sifat dan Ciri Allah, juga apakah ajaran yang datang daripada Allah ?

Agama Islam melalui sumbernya iaitu Al-Kitab (Quran) dan As-Sunnah (rasul) beriman bahawa Allah itu Esa, tiada sekutu dan tidak mempunyai anak dan menyakini Allah mempunyai 99 nama, memiliki sifat-sifat yang mulia seperti yang diberitakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.



Manakala Kristian berpegang kepada rujukan mereka iaitu Bible bahawa Allah itu mempunyai anak, isteri dan menjadikan Jesus sebagai Anak Allah.

Kita (orang Islam) tidak bersetuju dengan Kristian di dalam hal tersebut tetapi kita tidak boleh mengatakan bahawa bukan Allah tuhan mereka...kerana tuhan mereka tetap Allah dan apa yang mereka anggap tuhan itu sebenarnya ialah Allah swt cuma sifat-Nya dan ciri-ciri Allah itu yang kita perselisihkan. (puncanya rujukan tidak sama apabila kita merujuk Al-Quran dan mereka (Kristian) merujuk Bible)



Apabila kita menafikan hak Kristian untuk memanggil tuhan mereka sebagai Allah, kita sebenarnya menafikan bahawa Islam ialah pelengkap kepada ajaran Kristian dan yahudi serta pelengkap kepada kitab suci Taurat dan Injil yang semuanya berasal daripada Allah swt.

Bagaimana kita hendak menolak Firman Allah swt yang bermaksud :

"dan kami turunkan Taurat dan Injil, sebelumnya (Sebelum Quran) sebagai pertunjuk kepada manusia." (Ali-Imran : 3-4)

Allah memerintahkan kita mengakui kewujudan ajaran Taurat dan Injil serta rasul-rasul yang membawa kitab-kitab tersebut melalui Firman-Nya yang bermaksud :

"Katakanlah (Wahai orang-orang mukmin): "Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma'il, Ishaq, Ya'qub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhannya. Kami tidak membeza-bezakan seorangpun diantara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya". (Al-Baqarah : 136)

Kenapa kita hendak membezakan tuhan Kristian dengan tuhan kita yang hakikatnya ialah sama iaitu Allah ? Rasul mereka iaitu Jesus (Isa) juga adalah rasul kita !

Firman Allah swt : " Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat." (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali." (Al-Baqarah : 285)

Hanya kita berbeza pada apa yang dibawa oleh sumber masing-masing (antara Al-Quran dan Bible) mengenai aqidah tentang Allah !

Hanya kita berkeyakinan bahawa Bible (Taurat & Injil) itu telah diubahsuai namun dari sudut keimanan, kita wajib menyakini bahawa Taurat dan Injil itu berasal daripada Allah dan merupakan kitab Allah dan tuhan yang disebut oleh Injil dan Yahudi itu ialah Allah.

Ini kerana Allah jelas menyebut di dalam Al-Quran dengan bermaksud : " Kerana mereka (bani Israel) melanggar janjinya, Kami kutuki mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka (bani Israel) suka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat pengkhianatan dari mereka kecuali sedikit diantara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." (Al-Maidah : 13)

Apakah belum jelas wahai penguasa pentadbiran agama ? tentang isu ini ?

Bezanya aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah (Aqidah Islam) yang berasal daripada Al-Quran dan As-Sunnah menyakini Allah itu wajib disifatkan menurut apa yang diwahyukan melalui kedua-Nya dan hasilnya Allah pada kita (umat Islam) berbeza dengan ciri Allah pada agama Kristian dan Yahudi.

Di sinilah terpancar kepentingan Aqidah Islam untuk dipelajari oleh umat Islam supaya mereka mengetahui Siapakah Allah ? Apakah sifat-Nya ? dan mempelajari apa kata Al-Quran dan As-Sunnah tentang Allah untuk membolehkan mereka beriman dengan-Nya dan membezakan Allah yang difahami berdasarkan ciri-ciri yang di bawa oleh agama lain.

Ada hikmah rupa-Nya kejadian ini, menyedarkan umat Islam bahawa mereka perlu mempelajari aqidah ! Perlu mendalami aqidah dan perlu melengkapi anak-anak kecil dengan ilmu Aqidah bukan hanya kerana takut tersilap dan terkeliru dengan isu Allah ! tetapi supaya anak-anak tahu siapakah Allah ? Apakah ciri-ciri dan sifat Allah yang selama ini tak pernah pun nak ambil tahu !

Bukan mengambil keputusan menghalang penggunaan nama Allah oleh agama lain konon hendak mengelakkan kekeliruan kepada umat Islam dan anak-anak Islam...yang akhirnya akan mengundang lebih banyak kekeliruan...tak percaya ?

Baiklah, kalau seorang paderi Kristian mengatakan yang menciptakan alam ini bukan Allah apakah itu bukan mengelirukan ? Habis siapa ? Kerana Umat Islam mempercayai yang menciptakan alam ini ialah Allah !

Bukankah lebih senang difahami, sekiranya baik Islam mahupun Kristian menyakini bahawa yang menciptakan alam ini ialah Allah ! tetapi Allah bagi umat Islam sifat-Nya ialah Tunggal dan Esa, tiada anak dan tiada isteri tetapi Allah bagi orang bukan Islam (Kristian misalnya) mempunyai anak. Budak kecil dan anak kita akan bertanya kenapa berbeza ? kita akan menjawab kerana Islam merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah manakala Kristian merujuk kepada Bible.

Lebih mudah bukan ?

Susah sangatkah JAKIM hendak menyedari yang anak-anak Islam semakin sesat dan menjauh daripada agama Islam sekalipun penggunaan nama Allah hanya untuk orang Islam.

Sekurang-kurangnya dengan penggunaan nama Allah bagi agama lain akan membuatkan ibu bapa Islam lebih peka, lebih risau dan lebih berusaha menanamkan ilmu tauhid, ilmu aqidah kepada anak-anak mereka agar tidak tersalah mengambil "Allah" sebagai tuhan, ingat anak-anakku, tuhan kita ialah Allah yang tersebut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah...susah sangatkah hendak berkata demikian ?

Punca JAKIM dan ISU ALLAH menjadi ISU

Saya tidak melihat ada alasan lain kenapa JAKIM menolak penggunaan nama Allah sebagai sesuatu yang merujuk kepada tuhan yang umum bagi semua melainkan disebabkan mereka (ulama JAKIM) majoritinya tidak berfaham dengan kefahaman tauhid yang terbahagi kepada tiga bahagian (iaitu Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah, Tauhid Asma Wal Sifat)

Mufti-mufti dan ahli jawatankuasa Fatwa yang kebanyakkannya berpendapat Tauhid itu cuma satu iaitu Mengesakan Allah dan beraqidah dengan faham ilmu kalam (mantiq) yang dibawa sejak dahulu ke tanah melayu di atas nama Asya'irah dan Maturidiyah pastinya menolak Tauhid Rububiyah yang dibawa oleh Ulama-ulama yang menyakini Tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian.

Tauhid Rububiyah misalnya menyakini bahawa Mengesakan Allah di dalam bab penciptaan dan mengakui bahawa Allah sebagai pentadbir dan penguasa itu adalah wajib dan hal itu merupakan fitrah ke atas semua manusia baik yang Muslim mahupun bukan.

Ini disebabkan mereka (ulama yang berfaham demikian) merujuk kepada ayat Al-Quran yang menjadi bukti bahawa orang-orang Musyrikin Mekah dahulu, sekalipun kafir dan tidak beriman namun tetap mengakui Allah sebagai tuhan, memanggil-manggil nama Allah swt di dalam urusan harian mereka , seperti bersumpah dengan nama Allah dan berdoa serta bertawaf di atas nama Allah.

Hanya sahaja mereka mensyirikkan Allah dan menjadi golongan musyrikin disebabkan tidak mentauhidkan Allah di dalam perihal Ibadah yang disebut sebagai tauhid kedua yang diberi nama Tauhid Uluhiyah.

Ustaz Dato Nik Abd Aziz (Mursyidul Am PAS) berpendirian seperti ini begitu juga dengan tokoh agamawan popular seperti Dr Mohd Asri Zainul Abidin (bekas Mufti Perlis).

Realitinya, majoriti ulama Islam khasnya yang berfaham dengan Ahlul Sunnah Wal Jamaah menerima tauhid yang terbahagi kepada tiga bahagian ini seperti Imam Ibnu Mandah (wafat 359 H), Imam Ibnu Batthoh Al-'Akbari (meninggal 387 H) di dalam kitabnya Al-Ibanah 'An Syariati Al-Firqatin Najiyah wa Mujanibatil Firqatil Mazmumah.

Imam At-Thurthusy (meninggal 520 H) menyebutkan dalam muqaddimah kitab Sirajul Muluk dan Imam Al-Qurthubi (wafat 671 H) Kitab Al-Iman oleh Al-Imam Ibnu Taimiyah (Wafat 728 H)

Tidak kurang pula ulama moden hari ini yang dihormati keilmuan mereka turut mengakui kebenaran tauhid yang tiga ini termasuk pejuang Islam terkenal seperti Hassan Al-Banna, Syed Qutb dan majoriti ahli Ikhwan Muslim (IM), para ulama seperti Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi (Dekan Fakulti Pengajian Ilmu Islam Universiti Qatar), Prof.Dr Abdul Karim Zaidan (Pakar Usul Fiqh Sedunia, Pengarang kitab Usul Fiqh yang digunakan oleh ribuan univeristi di seluruh dunia Islam), Prof. Dr Abdul Wahab Ad-Dailami dan lain-lain ulama' di serata dunia Islam.

Saya hairan, disebalik kewujudan ramai ulama Islam di timur tengah dan kepesatan kajian ilmu agama dan perkembangan ilmu, di negara kita ianya seolah-olah tidak begitu terusik dan teruja.

JAKIM dan Majlis Agama Islam di setiap negeri lebih bersikap menutup ruang percambahan ilmu di dalam masyarakat, lebih suka mengambil jalan mudah dengan menutup ruang khilaf (perselisihan pendapat) semata-mata kerana alasan rakyat akan terkeliru dan orang awam akan binggung.

Kalau sudah tahu begitu, perbanyakkanlah ruangan ilmu, rancakkan pengajian agama dan memajukan kajian dan perbahasan ilmiah bukan mengongkong Umat Islam dengan satu mazhab, dengan satu pendapat dan hanya satu aliran hanya kerana mahu mengelakkan kekeliruan dan orang jahil tidak faham.

Apakah harga yang dibayar oleh JAKIM dan Majlis agama dengan perbuatan sebegini ?

Harganya ialah "MALAYSIA BOLEH" di dalam semua hal dan banyak perkara baru akan diterokai tetapi agama Islam menjadi tidak boleh dalam banyak hal sehingga agama dilihat menjadi sebab kemunduran dan generasi muda akan meninggalkan Islam.

Agama Islam dilihat kolot, keras, tidak berdaya saing dengan arus kemodenan lantaran ahli agama dan penguasa agama yang berkuasa di dalam urusan agama Islam berkeras mahu mengongkong pemikiran masyarakat hanya dengan isu dan bab-bab yang diputuskan oleh majlis agama sahaja.

Belum lagi politik di ambil kira, peranan agama menjadi semakin jauh dan sayup ketinggalan apabila kekuasaan menjadi taruhan. Masing-masing membaca ayat Al-Quran,mahu menunjukkan mereka mempunyai dalil dan hujah di dalam tindakan.

Agama menjadi bahan sandaran dan ayat perkuat (azimat atau semacam tangkal) sekadar menguatkan pilihan yang dibuat....

Pilihan sudah dibuat terlebih dahulu, baik oleh prosedur, sentimen atau faktor kepentingan tertentu...kemudian barulah mengambil Al-Quran dan As-Sunnah sebagai penyokong.

Al-Quran dan As-Sunnah bukan lagi menjadi rujukan utama, bukanlah lagi menjadi penentu keputusan dan pembeza di antara yang haq dan bathil (Al-Furqan).

Inilah zaman orang-orang Ruwaibidhoh berkuasa !

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah"". Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu Wahai Rasulullah?". Nabi saw. menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina serta tidak mengerti urusan orang ramai".(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Selamat datang ke zaman ini !

Friday, February 13, 2009

Mengapa tidak menulis?

Em, lama benar aku tidak menulis, hanyalah copy and paste sahaja.

Kenapa?

Kerana aku ingin menulis apabila sudah beramal dengannya...

Teringat kelakuan ulama(mungkin Imam Malik Rahimahullah) lebih kurang Imam Malik tidak akan menyuruh seseorang itu melakukan sesuatu kebaikkan melainkan dia sendiri beramal dengannya..

Wallahhua'lam..

Kegawatan Politik - Islah ialah Jalan Penyelesaian



Oleh: Ustaz Emran
Sumber: http://ustaz.blogspot.com

Kegawatan politik di Perak sebenarnya berpunca daripada kegawatan ilmu dan aqidah di dalam dada umat Islam yang berbangsa Melayu di Malaysia akibat lemahnya kita pada ilmu dan ketaqwaan.

Sewaktu ini sudah ramai yang menulis ulasan dan komen, ada yang membawa ayat Allah yang bermaksud : “Dan sesungguhnya inilah umat kamu, umat yang satu, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu. Kemudian mereka itu berpecah-belah dalam urusan mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap puak berbangga dengan apa yang ada pada mereka. Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatannya itu hingga ke suatu masa”. (Surah al-Mukminun, ayat 52-54).

Mereka ini ialah golongan yang menyisih diri dan tidak mahu mencampuri urusan politik yang semakin gawat dan dipenuhi oleh permusuhan dan bersikap mengelak daripada terjebak oleh bakaran-bakaran api permusuhan atau percikannya. Mereka mengambil sikap persis seperti pesan nabi kepada ‘Abdullah bin ‘Umar r.a yang pernah memberitahu :“Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat al-Bukhari).

Dan ada pula yang membawakan nasihat dari ayat Allah yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah an-Nisa : 59)

Ini pula ialah pihak yang menyeru supaya masyarakat kembali mentaati pemimpin dan ketua negara dengan mengambil jalan mudah untuk menutup pintu perselisihan dengan memaksa pihak yang memberontak dan tidak berpuas hati itu mengorbankan kehendak dan ketidak puasan hati mereka demi kemaslahatan orang ramai. Biarlah ketidak adilan dan kezaliman itu berterusan daripada pertumpahan darah dan kekocohan bermahajarela serta tersebar ke merata-rata daerah dan negeri.

Manakala kita yang telah melihat dan memerhati sejarah politik, undang-undang tubuh negeri, perwatakkan masing-masing yang tidak mungkin mengalah dan berundur daripada mempertahankan pendapat dan hak masing-masing maka wajarlah kita kembali kepada jalan penyelesaian terbaik yang disediakan oleh Al-Quran seperti yang disebut di dalam surah Al-Hujurat yang bermaksud : "Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu itu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil." (Al-Hujurat : 9)


Islah itulah jalannya

Pada waktu ini hanya dengan campur tangan ulama dan tokoh masyarakat yang berpengalaman sahajalah dapat mengelakkan kegawatan ini daripada menular dan bertambah buruk. Alim ulama dan mereka yang berkemampuan di dalam mengendalikan masyarakat wajar tampil mendamaikan pihak-pihak yang berselisih dengan mengadakan islah (pembaikan) melalui sulh (perdamaian) atau perbincangan dua hala yang bermaksud mencari jalan penyelesaian.

Tidak wajar ulama berkecuali ! menghindarkan diri atau menjauhkan diri daripada terjebak ke dalam masalah pergaduhan umat Islam ini kerana ketiadaan ulama akan mengakibatkan yang jahil bercakap, berhujah dan bertempik ke sana ke mari menjadi hero perpecahan ummah.

Allah berfirman yang bermaksud:“Berpeganglah kalian semua kepada tali Allah dan janganlah kalian bercerai berai.” (Ali ‘Imran: 103)

Al-Imam Al-Barbahari rahimahullah berkata: “Hendaknya kalian berpegang teguh dengan atsar-atsar dan para ulamanya. Bertanyalah kepada mereka dan duduklah bersama mereka, serta raih ilmu dari mereka.” (Syarhus Sunnah hal. 111)

Ulul Amri bermaksud Pemerintah dan Ulama' maka apabila pemerintah sudah tidak dapat dipercayai maka ulama'lah harapan ummah.

Sebuah majlis perbincangan perlu di adakan di antara wakil pakatan rakyat (PR) dengan wakil pihak barisan nasional (BN) yang akan dikendalikan oleh ulama' untuk mencari jalan penyelesaian.


Orang awam harus bersikap mengasingkan diri daripada mencampuri urusan umat

Kejahilan itu ialah racun dan akan menyebar seperti tersebarnya wabak apabila ianya bercampur dengan khalayak ramai dan massa. Orang ramai perlu bersikap sabar dan mematuhi arahan Allah swt yang disebut di dalam Al-Quran yang bermaksud : "Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat." (Ali-Imran : 105)

"Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: "Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil." (Al-Qasos : 55)

Berpesan-pesanlah sesama orang awam agar tidak menjadi Ruwaibidoh, siapakah golongan ruwaibidoh ini ?

Di dalam hadis ada menyebut bahawa rasulullah pernah bersabda : “Sesungguhnya sebelum kedatangan kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang berdusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang membuat khianat, dan yang bercakap ketika itu ialah al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” jawab Nabi : Orang yang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim.

Hidupkanlah budaya menggesa ulama supaya mengambil tindakan, merujuk kepada mereka apabila mempunyai permasalahan dan jadikanlah mereka sebagai kepimpinan masyarakat.

Ulama yang dimaksudkan ialah benar-benar ulama' bukanlah sekadar yang bergelar ustaz atau ijazah kedoktoran sebalik mereka yang diakui kealiman dan kepakaran menyelesaikan masalah umat dengan keilmuan daripada Al-Quran dan As-Sunnah.

Hidupkanlah budaya islah (pembaikan) bukan penghukuman dan pembantaian atau pergaduhan disebabkan oleh perbezaan dan perselisihan. Ingatlah Palestin masih berdarah, berita mengenainya masih belum pun surut dan hilang daripada kaca TV dan umat Islam di negara kita sudah disibukkan dengan kegawatan dan pergaduhan sesama agama dan bangsa.

Allahuakbar ! Allahuakbar ! Allahuakbar !

Pesanan akhir saya buat kali ini, biarlah kita beramal dengan firman Allah yang bermaksud : "Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud..." (Al-Fath : 29)

Fahamilah aqidah ! khasnya yang berkait al-wala wal bara' sebelum mulut itu celupar dan cekap menghina dan mencela sesama saudara demi membela musuh kerana kejahilan agama.

wallahua'lam walillahilhamd.