Sunday, May 04, 2008

Tak Sunat, Tanggung Najis?

Bismillahirrahmanirrahim


talfiq - Apr 18, 2008 - 10:31 PM
Post subject: SJ-03-0101 : Belum khatan tanggung najis
________________________________________


Saya ada terbaca somewhere, cuma sebab baru ni terdetik nak tanya, dan kebetulan saya pun belum berkeluarga.

Setakat saya faham, kanak2 yang belum berkhatan dianggap menanggung najis. Jadi isunya:

a) Sekiranya solat di mana ada kanak-kanak (ikut uruf m'sia umur khatan sekolah rendah) duduk satu saf, dan kanak-kanak pula sukar dikawal dan menyentuh kita sewaktu solat adakah dikira batal?

b) Adakah isu ini dikira umum balwa, yakni sekiranya ada anak orang lain yang duduk, merapatkan diri pada kita semasa solat. Amat sukar untuk mengelak. Begitu juga sekiranya anak sendiri.

c) Ada baca dalil (tak silap saya) yang ada kanak2 kecil duduk merapati baginda sewaktu solat, jadi baginda menunggu sehingga kanak2 itu beredar barulah baginda teruskan solat. Adakah ini kerana tradisi orang Arab khatankan anak selepas lahir? Atau bagaimana.

Bagaimana pula dengan kanak2 perempuan?

WA.
________________________________________


Abu_syu'aib - May 01, 2008 - 02:51 PM
Post subject:
________________________________________
بسم االله والصلاة والسلام على رسول الله وبعد

Pertama sekali saya tidak pernah terjumpa lagi dalam kitab-kitab feqah apabila membincangkan Bab al-Najasat, atau perkara-perkara yang najis diletakkan bab NAJISNYA KANAK-KANAK YANG BELUM BERKHATAN..

Atas ukuran apakah yang dikatakan kanak-kanak yang belum berkhatan itu menanggung najis? Adakah kerana tidak berkhatan dan kulupnya itu menyimpan najis?

Dan sekiranya kanak-kanak itu menanggung najis dengan sebab tidak bersunat sudah pasti syariat akan menerangkannya kerana ianya sangat penting di dalam kehidupan masyarakat kita, sepertimana syariat menerangkan cara membersihkan air kencing kanak-kanak lelaki dan perempuan. Maka ianya hanya ijtihad yang terdedah kepada betul dan salah.

Mereka yang menyatakan sekiranya kanak-kanak duduk sekali di dalam satu saf dengan orang dewasa maka terbatallah satu saf, ini tidak berdasarkan kepada dalil dan ianya tidak masuk akal sama sekali,

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah al-Ansori r.h. beliau berkata:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يَؤُمُّ النَّاسَ وأُمَامَةُ بِنْت أبِي العَاص وَهِيَ ابنَةُ زَيْنَبَ بِنْت النبي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِن السُّجُوْدِ أَعَادَهَا.

Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah s.a.w. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud baginda mengangkatnya semula”.

Daripada hadis ini beberapa pelajaran yang boleh diperolehi:

- Perbuatan Nabi s.a.w. mendukung cucunya Umamah sewaktu mengimami solat menunjukkan tiada halangan membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid.

- Faedah lain yang boleh diperolehi dari hadis ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belum mumaiyiz tidak membatalkan solat seseorang seperti yang disalah fahami oleh sebahagian pihak dengan menyatakan sekiranya kanak-kanak berada di dalam satu saf dengan orang dewasa akan menyebabkan satu saf terbatal. Pendapat ini batil sama sekali.

- Pergerakan yang lebih dari tiga kali tidak membatalkan solat seseorang. Perbuatan Nabi s.a.w meletak dan mengangkat cucunya ketika solat sudah pasti melebihi tiga pergerakan yang besar tetapi ianya tidak membatalkan solat baginda s.a.w

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Anas r.h. beliau berkata:

أنَّهُ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَم صَلَّى في بيتٍ أُمِّ سُلَيْمٍ فَقُمْتُ أَناَ وَيَتِيْمٌ خَلْفَهُ وَأُمِّ سُلَيْم خَلْفَنَا

Maksudnya: “Nabi s.a.w. bersolat dirumah Ummu Sulaim, Aku (Anas) dan seorang yatim mengikutnya bersolat dibelakangnya dan Ummu Sulaim dibelakang kami”.

Ibn Abbas r.h. berkata:

بِتُّ عِنْدَ خَالَتِي مَيْمُونَةَ، فَقَامَ النَّبِي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يُصَلِّي مِنَ اللَيْلِ، فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَ بِرَأْسِي وَأَقَامَنِي عَنْ يَمِيْنِهِ.

Maksudnya: “Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah, pada malam itu Nabi s.a.w. bersolat. Maka akupun bersolat bersamanya lalu berdiri di sebelah kirinya. Kemudian Nabi s.a.w. memegang kepalaku sambil menarik aku ke sebelah kanannya”. Hadis riwayat al-Bukhari no. 726.

Kedua-dua hadis di atas dalil menunjukkan kanak-kanak yang belum baligh boleh bersolat bersama orang dewasa tanpa mencacatkan solatnya.

Hadis yang pertama Anas bersolat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi s.a.w. maka sudah tentu anak yatim tersebut seorang yang belum baligh, sekiranya sudah baligh tidak dipanggil anak yatim lagi. Semetara hadis yang kedua Ibn Abbas yang ketika itu masih kecil bersolat disebelah Nabi s.a.w.

Maka ini juga menunjukkan tidak ada saf yang khas untuk kanak-kanak . Imam Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya “Mughni al-Muhtaj ila Makrifati Ma’ani alfaz al-Minhaj”, jilid 1, hal. 492

وَإِنَّمَا تُؤَخِّرُ الصِّبْيَان عَنْ الرِّجَالِ كمَا قالَ الأزرَعِي إذَا لَمْ يَسعَهُم صَفَّ الرِّجَال وإلا كَمَلَ بِهِمْ

Maksudnya:

Adapun dibelakangkan kanak-kanak daripada orang dewasa seperti yang diperkatakan oleh al-Azraie apabila saf orang dewasa telah penuh, tetapi sekiranya terdapat kekosongan pada saf orang dewasa maka ianya diisi dengan kanak-kanak.
Jelas daripada apa yang dikatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini ini. sekiranya saf orang dewasa terdapat kekosongan maka saf tersebut perlu diisi dengan kanak-kanak. Tidak terdapat di sana saf yang dikuhususkan kepada kanak-kanak.

Maka tidak ada kena mengena dengan tradisi arab atau kaum yang lain sama ada mereka mengkhatankan kanak-kanak selepas lahir atau kemudiannya.

Wallahu a’lam.
________________________________________

Sumber: al-ahkam.net

Saturday, May 03, 2008

Kearah Kebangkitan Islam

Bismillahirrahmanirrahim
Balighu Anni Walau Aayah
MUQADDIMAH


Setiap insan dalam perjalanannya menuju kedewasaan pasti akan melalui beberapa peringkat hidup bermula daripada bayi kepada kanak-kanak, remaja hinggalah dewasa. Setiap peringkat ini memiliki ciri-cirinya yang tersendiri. Bayi sentiasa perlukan penjagaan dan perlindungan, kanak-kanak asyik gemar bermain dan bersenda-gurau, remaja pula sentiasa bersemangat manakala dewasa pula matang lagi cermat.
Demikianlah juga dengan orientasi Islami gerakan kebangkitan Islam mutakhir ini. Alhamdulillah, gerakan ini kini sudah mula kelihatan dan dirasai di seluruh pelusuk dunia, sama ada di negara yang majoritinya Islam atau bukan Islam. Akan tetapi jika dianalisa dengan mendalam, boleh dikatakan gerakan kebangkitan ini lebih memiliki ciri-ciri bersemangat dari berilmu, bersifat terburu-buru daripada bertenang, bersifat cuai daripada cermat, dan bersifat baru daripada matang. Dalam ertikata lain, gerakan kebangkitan Islam mutakhir ini lebih mirip kepada ciri-ciri remaja yang dalam perjalanan menuju kedewasaan.
Inilah analisa Syeikh Yusuf al-Qardhawy dan di atas analisa inilah beliau menulis buku khas ini bertujuan membimbing dan menasihat gerakan kebangkitan yang bersifat remaja ini ke arah kedewasaan yang sepenuhnya. Dalam bimbingannya ini, al-Qardhawy telah menggariskan sepuluh titik (point) peralihan utama, iaitu :

1) BERALIH DARIPADA FORMAT DAN SIMBOL KEPADA HAKIKAT DAN KANDUNGAN
Pada zahirnya kelihatan gerakan kebangkitan Islam hanya menumpukan perhatian kepada perkara perkara yang mencorakkan simbol dan meninggalkan isi kandungannya yang jauh lebih penting. Umpamanya, seseorang yang selalu membesar-besarkan kedudukan jari telunjuk di dalam bacaan tasyahud solat,tetapi pada waktu yang sama meninggalkan perbincangan tentang sebab, tujuan dan kepentingan tuntutan solat itu sendiri secara keseluruhannya.

2) BERALIH DARIPADA PERDEBATAN KEPADA PERBUATAN
Sebahagian gerakan Islam gemar membakar tenaga mengungkit kesalahan dan kelemahan gerakan yang lain. Pada waktu yang sama, gerakan itu sendiri tidak berbuat apa-apa atau memberikan alternatif cadangan yang bermanfaat secara menyeluruh kepada Islam dan umatnya. Sikap begini perlu berubah. Tenaga dan masa seharusnya dibakar demi apa-apa kelemahan atau kesalahan gerakan lain seharusnya dibetulkan secara positif. Tidak dinafikan golongan yang suka berdebat ini hanya lahir dari gerakan muda ataupun terseleweng dari asalnya. Bilamana perdebatan ini tidak didasari dengan kewaspadaan dan sikap tolak ansur, maka ia akan berakibat buruk.

3) BERALIH DARIPADA SIKAP EMOSIONAL KEPADA SIKAP ILMIAH
Kerana semangat yang berlandaskan emosi tanpa kematangan yang berlandaskan ilmu, didapati sebahagian gerakan Islam lebih cenderung mengkritik, melabel dan menghukum sesama umat Islam tanpa berlandaskan ilmu yang sebenar. Bahkan dalam tindakan itu sendiri jelas terserlah sifat-sifat kejahilan yang keamatan. Sikap sebegini perlu berubah, seharusnya semangat itu didirikan di atas ilmu dan aqidah atau sekurang-kurangnya selari dengan tahap ilmu. Juga sebahagian pemuda yang bersemangat yang masih cetek ilmunya tampil lantang mengkritik tanpa adab golongan terdahulu secara zalim. Juga tindakan sebahagian gerakan Islam yang kerjanya mencari kesalahan orang dan mengkritik tidak kira masa. Adapun proses taghyir Islami itu tidak diperhatikan, sedang masyarakat alpa dan bosan dengan pertelingkahan ini.

4) BERALIH DARIPADA SIKAP MENUMPUKAN PERHATIAN DALAM MASALAH CABANG KEPADA MASALAH POKOK
Seringkali gerakan Islam menumpukan perhatian hanya kepada masalah cabang,seperti membaca Basmalah dengan kuat atau perlahan di dalam solat berjemaah, tetapi pada waktu yang sama meninggalkan masalah pokok, seperti orang yang tidak bersolat jamaah langsung. Seharusnya gerakan Islam memberi tumpuan yang mendalam kepada masalah pokok dan bersikap toleran dalam masalah cabang. Apa guna mengukuhkan cabang jika pokoknya sendiri amat lemah? Apalah gunanya mengekalkan pendapat dan memaksa orang mengikuti satu pendapat dalam masalah furu’ dan andai ini menjadi sebab larinya manusia dari Islam maka itu akan merugikan dari segi taghyir Islami yang menyeluruh. Perkuatkan tunjang Islam itu, bersatu di atas persamaan.

5) BERALIH DARIPADA SIKAP MENYULITKAN KEPADA SIKAP MEMUDAHKAN
Islam adalah agama yang sentiasa berciri-cirikan kemudahan. Akan tetapi sayang sekali sebahagian gerakan Islam memiliki ciri-ciri menyulitkan sehingga menyebabkan banyak orang menjauhi Islam, umpama mereka ada yang memaksa seseorang yang baru hendak memeluk Islam dengan amalan bersunat/berkhatan, padahal amalan ini bukanlah sepatutnya agenda pertama dalam dakwah kepada kaum bukan Islam. Dalam gerakan Islam sikap ini ternyata begitu penting. Penarikan rijal ke dalam saf perlu mengambil kira semua aspek masyarakat.

6) BERALIH DARIPADA SIKAP JUMUD DAN TAQLID KEPADA SIKAP IJTIHAD DAN PEMBAHARUAN
Di antara gerakan Islam masih ada yang berpendapat bahawa pintu-pintu ijtihad telah ditutup dan pembaharuan hukum Islam adalah tidak perlu. Mereka memaksa umat Islam untuk bertaqlid kepada mazhab-mazhab tertentu sahaja dan apa-apa perkembangan terbaru dalam tamadun manusia adalah suatu yang harus dikesampingkan dan ditinggalkan kerana ia kononnya tidak dirangkumi oleh syariat Islam. Sikap negatif seperti ini perlu diubah, pertama kerana para Imam Mazhab sendiri bertegas tidak memaksa umat Islam untuk bertaqlid kepada mazhab mereka dan kedua, para Imam Mazhab sendiri berubah-ubah fatwa mereka selari dengan peredaran zaman dan tamadun semasa kehidupan mereka sendiri.

7) BERALIH DARIPADA SIKAP EKSKLUSIF KEPADA SIKAP INKLUSIF
Eksklusif ialah sikap sukakan publisiti atau sikap mengunggulkan diri sendiri dan menyisih serta memperlekeh orang lain manakala inklusif ialah sikap merendah diri sendiri agar sama rata mencakupi semua orang.
Malang sekali sikap eksklusif, yang mirip kepada sifat Iblis yang enggan bersujud kepada Adam A.S telah menjadi ciri-ciri sebahagian gerakan Islam. Masing-masing mengunggulkan gerakan sendiri sehingga akhirnya menjadilah gerakan Islam sesuatu yang berpisah-pisah. Seharusnya sikap eksklusif ini dikikis dan diterapkan sikap inklusif yang bercirikan jamaah dan kerjasama win-win. Namun perlu difahami inklusif yang dimaksudkan disini tidak bermakna fasa dakwah dimasa berbahaya kepada dakwah itu sendiri. Terdapat banyak masa dimana gerakan Islam terdedah kepada banyak bahaya daripada pihak musuh atau ancaman, maka itu adalah persoalan lain.

8) BERALIH DARIPADA SIKAP BERLEBIH-LEBIHAN KEPADA SIKAP BERSEDERHANA
Islam agama pertengahan, apa yang berpisah daripada pertengahan ini disebut sebagai berlebihan (ghuluw). Agama pertengahan ini tidak condong kepada sikap remeh dan tidak juga condong kepada sikap fanatik. Sayang sekali ada di antara gerakan Islam yang condong ke arah meremehkan syariat Islam sepertimana aliran liberalisme.
Ada juga yang condong ke arah berlebihan seperti aliran fanatisme. Yang benar gerakan Islam berada di antara kedua-duanya kerana inilah jalan yang lurus dalam menghasilkan kejayaan sebenar.

9) BERALIH DARI SIKAP BERKERAS KEPADA SIKAP BERHIKMAH
Sebahagian gerakan Islam, kerana sikap putus asa mereka beralih daripada manhaj dakwah dengan hikmah kepada manhaj kekerasan dengan senjata. Mereka membunuh jiwa dan melakukan kerosakan harta benda yang akhirnya hanya akan menggagalkan secara keseluruhan usaha kebangkitan Islam. Seharusnya gerakan Islam memiliki sifat sabar dan bertahap-tahap. Tidak boleh menanam benih di pagi hari dan mengharapkan buahnya di petang hari.

10) BERALIH DARIPADA PERTELINGKAHAN KEPADA PERSATUAN
Antara faktor utama yang menghalang kejayaan gerakan Islam mutakhir ini ialah pertelingkahan sesama gerakan atas hal-hal khilaf dan dzanni (hokum yang samar-samar). Padahal syariat Islam mewajibkan umatnya sesuatu yang disebaliknya, iaitu bersatu dan jangan berpecah. Selagi gerakan Islam berpecah dan bertelingkah, selagi itulah kejayaan menjauhi umat ini.

PENUTUP
Gerakan kebangkitan Islam di Malaysia juga berada di tahap keremajaan dan sangat-sangat memerlukan bimbingan segera untuk mencapai tahap dewasa secepat yang mampu agar segala misi perjuangan mereka dapat membuahkan hasil sebaik mungkin. Cubalah adaptasikan 10 titik perubahan di atas dalam konteks kecilan pula seperti gerakan mahasiswa Islam, lantaran matlamat dasar dan halatuju pergerakan kita adalah sama.

Wallahu alam.
Tajuk asal kitab : Kebangkitan Gerakan Islam ; Dari Masa Keremajaan Menuju Kematangan ( As-Sahwah al-Islamiyah minal-Murahiqah ilar-Rusyd, Dr. Yusuf al-Qaradhawy)

Sumber:http://bahantarbiyyah.info/v3/wordpress/?p=41

Friday, May 02, 2008

Pesanan al-Imam as-Syafi'i Rahimahullah

ImagePenerangan disampaikan oleh Ustaz Abdul Rasyid bin Idris, Presiden Institut al-Qayyim



NAMA : DR. MUJAHID BIN HJ YUSOF RAWA
TARIKH LAHIR : 25/10/1964
UMUR : 44 TAHUN
ASAL : PULAU PINANG
ALAMAT : MARKAZ UPU KG MELAKA, X10, JALAN CEMPAKA, TAMAN KERIAN, 34200 PARIT BUNTAR PERAK

KERJAYA & KERJAYAPENGALAMAN
1.TIMBALAN PESURUHJAYA PAS PULAU PINANG (2007-HINGGA KINI)
2.PENGERUSI LAJNAH PERPADUAN NASIONAL PAS (2005-HINGGA KINI)
3.AJK PAS PUSAT (2005-HINGGA KINI)
4.AJK PEMUDA PAS PUSAT (2001-2005)
5.TENAGA PENGAJAR MASJID DAN SURAU
6.GURU BAHASA ARAB
7.PETUGAS SUKARELA BANTUAN ISLAM ANTARABANGSA
8.PENSYARAH MULTIMEDIA UNIVERSITI

JAWATAN DALAM POLITIK/MASYARAKAT
1.TIMBALAN PESURUHJAYA PAS NEGERI PULAU PINANG (2007-HINGGA KINI)
2.PENGERUSI LAJNAH PERPADUAN NASIONAL PAS (2005-HINGGA KINI)
3.AJK PAS PUSAT (2005-HINGGA KINI)
4.AJK PEMUDA PAS PUSAT (2001-2005)

5.TENAGA PENGAJAR MASJID DAN SURAU

Tags: mujahid, Pas

PENGAJIAN HADITH DI NUSANTARA

Bismillahirrahmanirrahim


Satu Kajian Terhadap Kitab Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)
oleh Ustaz Mustafa Abdul Rahman


1. Biografi Ustaz Mustafa Abdul Rahman

1.1 Nama dan Keluarga

Beliau ialah Mustafa bin Abdul Rahman bin Mahmud bin Mat Salleh. Beliau dilahirkan pada tahun 1917 di Gunung Semanggol. Bapanya seorang ‘ulama terkenal di Gunung Semanggol. Sementara ibunya ialah Maryam bt. Andak adalah berketurunan Jawa yang berasal dari Kuala Kurau. Beliau merupakan anak pertama daripada tujuh orang adik-beradik. Nama penuh beliau ialah Ustaz Mustafa Abdul Rahman bin Mahmud bin Saleh. Nama panggilan beliau ialah Pak Wa. Beliau juga digelar Mustafa Na‘im oleh Sheikh Abdullah Fahim.

Ayah beliau, Haji Abdul Rahman pernah belajar di Universiti Al-Azhar Mesir dan di Masjidil Haram. Haji Abdul Rahman menuntut di Mekah tidak kurang daripada 15 tahun sehingga digelar Tuan Haji Masjidil Haram. Haji Abdul Rahman adalah di antara orang Melayu terawal yang mendapat pendidikan sebegitu lantaran kedudukan kewangan yang baik dan berasal daripada keluarga yang kuat pegangan agama Islam.

Ternyata Ustaz Mustafa Abdul Rahman banyak mewarisi sifat-sifat yang dimiliki oleh ayah beliau seperti minat menuntut ilmu dan menyebarkannya kepada orang lain. Ustaz Mustafa adalah anak sulung daripada tujuh orang adik-beradik. Beliau berketurunan Jawa tengah kerana moyangnya Haji Abdul Jabar adalah daripada keturunan tersebut dan telah berpindah ke Kuala Kurau seterusnya ke Gunung Semanggol.[1]


1.2 Pendidikan

Beliau telah memulakan pendidikannya di pondok al-Rahmaniah yang telah diasaskan oleh bapanya iaitu Haji Abdul Rahman Mahmud di Gunung Semanggol pada tahun 1918. Setelah itu, Ustaz Mustafa meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Semanggol hingga ke darjah 5 iaitu kelas yang paling tinggi pada masa itu. Ustaz Mustafa mendapat pendidikan awal secara formal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajarannya di peringkat menengah di Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar selama 6 tahun. Beliau sempat berguru dengan Ustaz Abdullah Fahim[2] yang merupakan antara tokoh ulama yang terkenal pada masa itu.

Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Ma‘had Ihya’ al-Syarif yang ketika itu ditadbir oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Ma‘had Ihya’ al-Syarif merupakan kesinambungan dari pondok al-Rahmaniah yang diasaskan oleh bapa beliau sendiri, Ustaz Abdul Rahman Mahmud. Selepas tamat pengajian di sana, beliau bersiap untuk menyambung pelajaran ke Mesir, namun terpaksa membatalkan hasratnya apabila bapanya meninggal dunia. Oleh kerana beliau merupakan anak sulung, maka beliau mengambil tanggungjawab untuk menjaga dan menguruskan ibu dan adik-adiknya.

Ternyata, Ustaz Mustafa mampu menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris dengan baik, hasil pendidikan yang diperolehinya bermula di pondok al-Rahmaniah milik ayah beliau, kemudian di Sekolah Menengah Idrisiyyah yang memberikan beliau ruang yang lebih luas untuk mendalami bahasa Inggeris di samping pembacaan beliau. Beliau juga mengikuti pendidikan secara tidak formal dengan kelas gaya pos.


1.3 Guru-guru

Ustaz Mustafa mula belajar sejak kecil lagi. Beliau pada mulanya diajar oleh bapa beliau sendiri Haji Abdul Rahman Mahmud. Di antara guru beliau yang cukup terkenal ialah Sheikh Abdullah Fahim. Selain itu, beliau juga pernah berguru dengan beberapa orang guru daripada seberang Selat Melaka seperti Sheikh Mustafa Ramadhan yang berasal daripada Yugoslavia, manakala isterinya berasal daripada Singapura dan mengajar di Ma‘had Ihya’ al-Sharif. Selain itu juga, beliau turut berguru dengan Sheikh Hassan Yamani dan Sheikh Abu Mas‘ud yang berasal dari Tanah Arab dan Mekah.

Beliau menuntut ilmu dalam bidang Tafsir Al-Qur’an daripada gurunya Sheikh Abdullah Fahim yang lama menetap di Mekah. Sebagai seorang yang mengajar Ustaz Mustafa, Sheikh Abdullah Fahim banyak membantu Ustaz Mustafa dalam menyiapkan Tafsir Al-Qur’an Al-Hakim. Sheikh Abdullah Fahim juga telah menulis muqaddimah di dalam kitab ini.

Di antara guru-gurunya yang lain ialah mereka yang pernah mengajar beliau di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar seperti :-

1. Al-Fadl Haji Abu Bakar al-Baqir b. Mohd Sa`id
2. Haji Ahmad al-Subki
3. Haji Mahayudin Mohd. Sa‘id
4. Abdullah Sa‘id
5. Haji Umar Haji Sa‘id
6. Haji Idris Isma‘il
7. Haji Isma‘il Darus



1.4 Kerjaya dan Hasil Penulisan

Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di Ma‘had Ihya’ al-Sharif, Gunung Semanggol, Perak. Pada ketika itu, beliau telah mula menghasilkan penulisan tetapi tidak begitu serius. Sehinggalah pada tahun 1950-an, Ustaz Abu Bakar Bakir yang merupakan pengetua Ma‘had Ihya’ al-Sharif ketika itu, telah ditangkap di bawah Akta ISA kerana menubuhkan Hizbul Muslimin yang kemudiannya diharamkan oleh British, maka Ustaz Mustafa berhijrah ke Pulau Pinang dan tinggal bersebelahan dengan Syarikat Percetakan Ali Rawa.

Pada masa inilah, beliau kembali giat menulis di dalam pelbagai bidang. Beliau seterusnya dikenali sebagai pengarang buku-buku agama. Ustaz Mustafa di antara ulama alam Melayu yang agak produktif dan terkehadapan di dalam menghasilkan karya penulisan. Bahkan sesetengah hasil penulisan beliau ini menjadi rujukan dan digunapakai sebagai buku teks di sekolah-sekolah agama pada masa itu. Kepakaran beliau tidak hanya menjurus satu-satu bidang semata-mata, bahkan juga merangkumi pelbagai bidang ilmu.

Karya-karya beliau antaranya ialah:-

a) Tafsir
1. Tafsir al-Qur’an al-Hakim


b) Hadith
1.Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)
2.Terjemahan Mukhtasar Ibn Abu Jamrah
3.Pelajaran Hadith Nabawi
4.Pelajaran Hadith Junjungan Rasulullah



c) Akhlak
1.Peribadi
2.Pedoman Budi
3.Sendi Pergaulan Dalam Islam
4.Ilmu Jiwa dalam Islam
5.Akhlak dan Kewajipan Dalam Islam
6.Agama Islam dan Akhlak al-Fadilah



d) Sejarah
1.Ringkasan Sejarah Khulafa’ al-Rasyidin
2.Ringkasan Sejarah Kerajaan Bani Umayyah
3.Sejarah Islam
4.Ringkasan Sejarah Negara Islam
5.Pedoman Tarikh Junjungan Muhammad



e) Akidah
1.Terjemahan Melayu al-Jawahir al-Kalamiyah fi Idah al-Aqidah al-Islamiyyah



f) Mantiq
1.Perintis Ilmu Mantiq



g) Ekonomi
1. Sejarah Ilmu Ekonomi



h) Kamus
1. Kamus Bahasa Inggeris, Melayu dan Arab



Selain itu, beliau turut menulis artikel-artikel di dalam Utusan Melayu dan majalah Al-Ihya’ terbitan Ma‘had Ihya’ al-Sharif. Ternyata sumbangan beliau di dalam bidang penulisan walaupun bermula agak lewat namun ianya amat bermanfaat bagi umat Islam ketika itu.



1.5 Kematian

Ustaz Mustafa telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 28 Oktober 1968 bersamaan dengan 6 Sya`ban 1388 H dalam usia 51 tahun di rumah ibunya di Gunung Semanggol akibat sakit jantung.



2. Kitab Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)

2.1 Pengenalan Kitab

Di dalam kajian ini, penulis telah merujuk kepada Kitab Hadith 40 ( Terjemahan dan Syarahnya) yang dicetak buat kali pertama di dalam tulisan rumi pada bulan Oktober tahun 1989 oleh Dewan Pustaka Fajar.

Menurut Ya‘qub Muhammad Hussin di dalam kata pengantar Edisi Rumi, beliau menyatakan tiada sebarang perubahan di dalam edisi rumi dari sudut isinya. Namun begitu, terdapat beberapa tambahan penjelasan yang tertinggal di dalam edsi jawinya, semenatara yang lain dibiarkan kekal seperti kitab asalnya.[3] Beliau juga menyebutkan nama beberapa individu selain beliau sendiri yang terlibat di dalam proses menerbitkan kitab ini di dalam Edisi Rumi. Di antaranya ialah :

1. Ismail Hussin (pembaca proof)
2. Abdul Aziz Mohamed ( menaip muqaddimah yang telah disunting)

Beliau juga menjelaskan penerbitan kitab ini terutamanya di dalam Edisi Rumi akan memberikan peluang yang lebih luas kepada para pembaca untuk turut serta memahami dan menghayati petunjuk-petunjuk yang terkandung di dalam hadith yang dimuatkan di dalam kitab ini khususnya kepada golongan yang kurang berkemahiran dalam tulisan jawi. Beliau juga mengharapkan agar kitab ini akan mendatangkan manfaat kepada Allahyarham Ustaz Mustafa Abdul Rahman, penerbitnya dan para pembaca.[4]

Sementara itu, Ustaz Mustafa Abdul Rahman di dalam muqaddimah kitabnya ini menyatakan, beliau amat bersyukur kerana dapat menterjemah dan menyusun sebuah kitab hadith yang termasyhur hasil karangan Imam Nawawi rahmatullahi Ta ‘ala.[5] Beliau juga menegaskan meskipun kitab hadith 40 Imam Nawawi tersebut hanya mengandungi empat puluh dua hadith yang dianggap kecil berbanding kitab-kitab hadith lain yang lebih besar, namun kandungannya sungguh bernilai kerana kebanyakan hadith-hadithnya mengandungi kaedah dan sumber hukum-hukum Islam seperti hadith yang bermaksud “ Sesungguhnya segala amal itu dengan niat”, Imam Syafi‘i berkata : Bahawa hadith ini mengandungi sepertiga agama Islam kerana perbuatan seseorang ada kala dengan hatinya atau dengan lidahnya atau dengan anggotanya, dan niat adalah salah satu dari yang tiga itu.

Ustaz Mustafa juga menjelaskan bahawa nilai dan kedudukan hadith yang terkandung di dalam kitab Imam Nawawi tersebut begitu tinggi dan kuat sehinggakan tidak dapat dinafikan lagi tentang kesahihannya kerana ia banyak mengandungi hadith-hadith yang menjadi punca hukum dan diriwayatkan oleh ‘ulama-‘ulama hadith yang berautoriti seperti Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Tirmidhi.

Beliau menambah lagi, oleh kerana Imam Tirmidhi menjelaskan martabat sesuatu hadith yang diriwayatkannya seperti Hadith Hasan Sahih yang bermaksud hadith hasan lagi sahih, maka beliau mengambil inisiatif untuk menyusun secara ringkas sebagai panduan awal kepada para pembaca mengenai Ilmu Mustalah Hadith yang menggariskan kaedah dalam menetapkan martabat sesuatu hadith.

Sebagai mengakhiri muqaddimah beliau di dalam kitabnya, Ustaz Mustafa berharap agar Kitab Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya) menjadi salah satu usaha dalam bidang menghidupkan dan memperkembangkan sunnah Rasulullah yang mulia di kalangan umat Islam di negara ini sebagaimana yang terkandung di dalam kitabnya pada 1 Julai 1964.[6]



2.2 Pembahagian Kitab
Kitab ini dibahagikan kepada 2 bahagian yang besar iaitu :

a) Pendahuluan Ilmu Hadith dan Ringkasan Ilmu Mustalah Hadith[7]

Mengenai pendahuluan ilmu hadith ia meliputi beberapa tajuk kecil yang penting seperti :
1. Sejarah membukukan Hadith
2. Permulaan dibukukan hadith pada Abad Kedua Hijrah
3. Kedudukan Hadith dan Kewajipan Mentaatinya
4. Hadith Sumber Hukum Islam


Sementara itu, di bawah huraian tajuk mengenai ilmu Mustalah Hadith, terdapat beberapa tajuk seperti :
1. Pengertian Hadith

2. Pengertian Sunnah

3. Perbezaan Antara Hadith dan Hadith Qudsi

4. Istilah-istilah yang digunakan dalam ilmu Mustalah Hadith

5. Bahagian-bahagian nama hadith
- meliputi takrif dan kategori hadith seperti Hadith Mutawatir, Hadith Masyhur, Hadith Sahih, Hadith Hasan, Hadith Hasan Sahih dan Hadith Da‘if, Hadith Marfu‘, Hadith Mawquf, Hadith Mursal, Hadith Muttasil, Hadith Mahfuz, Hadith Jayyid, Hadith Mujawwad dan Thabit, Hadith Mawdu‘

6. Istilah yang dipakai untuk martabat hadith-hadith Sahih

7. Hukum meriwayatkan Hadith Da‘if

8. Sebab-sebab timbul Hadith Mawdu‘

9. Hukum meriwayatkan Hadith Mawdu‘



b) Matan Hadith Empat Puluh (Karangan Imam Nawawi) mengandungi Terjemahannya, Syarahannya dan Petunjuknya [8]

Di dalam bahagian kedua ini, Ustaz Mustafa memulakannya dengan muqaddimah oleh Imam Nawawi yang terkandung di dalam kitabnya iaitu Matan al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Imam Nawawi menjelaskan sebab yang mendorong beliau menyusun kitabnya berdasarkan sebuah hadith sahih Nabi yang bermaksud “ Allah cemerlangkan(membaguskan) muka seseorang yang mendengar perkataanku kemudian ia peliharakannya, lalu disampaikan kepada orang lain sebagaimana yang telah didengarnya” dan tidak berdasarkan sebuah hadith daif yang bermaksud “ Barangsiapa menghafaz kerana umatku empat puluh hadith dan urusan agamanya, nescaya Allah akan membangkitkan dia pada hari qiamat dalam golongan fuqaha”, meskipun para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa hadith-hadith daif boleh diamalkan dalam urusan fada’il al-a‘mal(amal-amal utama). [9]

Imam Nawawi juga menjelaskan barisan ‘ulama yang pernah mengarang kitab hadith 40 seperti ‘Abdullah Ibn Mubarak, Muhammad Aslam al-Tusi, Hassan Ibn Suffyan al-Nasa’i, Abu Bakr al-Ajri, Abu Bakr Muhammad Ibn Ibrahim al-Asfahani dan al-Daraqutni.

Imam Nawawi juga menyatakan bahawa kebanyakan hadith yang terkandung di dalam kitabnya diambil daripada Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Di samping itu, beliau tidak menyebutkan sanad-sanad hadith supaya mudah menghafaz dan menjelaskan perkataan yang sukar difahami.

Setelah muqaddimah Imam Nawawi, barulah Ustaz Mustafa menulis matan hadith bermula daripada yang pertama hingga yang ke-42. Kitab ini yang diterbitkan di dalam Edisi Rumi mengandungi sebanyak 441 halaman.



2.3 Metodologi Penulisan Ustaz Mustafa Abdul Rahman

Berikut adalah metodologi penulisan beliau di dalam kitabnya berdasarkan penelitian penulis :

1. Beliau menyusun kesemua 42 hadith berdasarkan turutan hadith yang terkandung di dalam kitab Matan al-Arba‘in al-Nawawiyyah karangan Imam Nawawi. Ini dapat dilihat berdasarkan tajuk kitabnya iaitu Hadith 40(Terjemahan dan Syarahnya). Penulis mengandaikan biasanya apabila seseorang itu menterjemah sesebuah karya asal di dalam bahasanya sendiri, dia akan mengikut metod penyusunan karya asal. Berikut adalah 42 tajuk hadith yang diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu oleh Ustaz Mustafa [10] :

1. Perkara Niat dan Yang Berkaitan Dengannya
2. Perkara Kedatangan Malaikat Untuk Mengajarkan Urusan Agama
3. Perkara Yang Berkenaan Dengan Sendi Agama Islam
4. Perkara Asal kejadian Manusia dan Kesudahan Amalnya
5. Perkara Mengada-adakan Dalam Agama
6. Perkara Halal, Haram, Larangan dan Kedudukan Hati
7. Agama Itu Nasihat
8. Perkara Peperangan Terhadap Manusia
9. Perkara Larangan dan Suruhan Rasul
10. Perkara Makan Yang Baik dan Doa
11. Perkara Yang Meragukan
12. Perkara Keelokan Islam Bagi Seseorang
13. Perkara Hubungan Iman Dengan Cinta
14. Perkara Yang menghalalkan Hukum Bunuh
15. Perkara Memelihara Perkataan, Memelihara Jiran dan Tetamu
16. Perkara Marah dan Yang Bertalian Dengannya
17. Perkara Ihsan Pada Tiap-tiap Sesuatu
18. Perkara Taqwa dan Yang Berkaitan Dengannya
19. Perkara Yang Mengenai Pengajaran Rasulullah Kepada Ibn ‘Abbas
20. Perkara Orang Yang Tidak Malu
21. Perkara Mengenai Pertanyaan Tentang Islam
22. Perkara Mengenai Kemasukan Ke Dalam Syurga
23. Perkara Mnegenai Kesucian, Pujian dan al-Qur’an
24. Perkara Yang Berhubungan Dengan Hadith Qudsi
25.Perkara Sadaqah Orang Yang Mempunyai Harta dan Yang Tidak Mempunyai Harta
26. Perkara Sadaqah Atas Diri
27. Perkara Kebaikan dan Dosa
28. Perkara Wasiat Mengnai Sunnah dan Bid‘ah
29. Perkara Yang Mengenai Amal Untuk Memasuki Syurga
30. Perkara Yang Mengenai Hukum Allah
31. Perkara Zahid Dunia dan Pada Manusia
32. Perkara Yang Mengenai Larangan Kemudaratan Atau Kesusahan
33. Perkara Yang Berkenaan Pengaduan
34. Perkara Pengubahan Yang Mungkar
35. Perkara Yang Mengenai Hubungan Di Antara Orang Islam
36. Perkara Yang Mengenai Balasan Berkaitan Dengan Kebaikan Di Antara Orang Islam dan Lainnya.
37. Perkara Yang Berkaitan Dengan Hadith Qudsi
38. Perkara Yang Berkaitan Dengan Hadith Qudsi
39. Perkara Mengenai Kemaafan Allah
40. Perkara Yang Mengenai Hubungan Dunia Dengan Orang Mukmin
41. Perkara Keimanan Kepada Suatu Yang Dibawa Rasul
42. Perkara Yang Berkaitan Dengan Hadith Qudsi


Ustaz Mustafa akan membahaskan isi kandungan sesuatu hadith berdasarkan tajuk-tajuk kecil yang dinyatakan. Ini dapat dilihat apabila kita merujuk hadith yang pertama iaitu Perkara Niat dan Yang Berkaitan Dengannya [11]. Tajuk-tajuk kecilnya adalah seperti berikut :
a) Segala Amal Adalah Dengan Niat
b) Hanya Bagi Tiap-tiap Seorang Apa Yang Ia Niatkan
c) Maksud Niat Orang Yang Berhijrah Bersama Rasul
- Pengertian Hijrah
- Pengertian Dunia
d) Perkara-perkara Amal dan Yang Berkaitan Dengannya
e) Amal Yang Ikhlas
f) Sebab Yang Merosakkan Amal
g) Petunjuknya


3. Tentang hadith Qudsi, beliau hanya menyebutkan tajuk umum iaitu “ Perkara Yang Berkaitan Dengan Hadith Qudsi”. Ini dapat dilihat pada hadith yang ke-24, 37, 38 dan 42. Ustaz Mustafa hanya menerangkan isi kandungan hadith berdasarkan tajuk-tajuk kecil selepas tajuk umum tersebut. Ini dapat dilihat contoh pada hadith yang ke-24 iaitu selepas Ustaz Mustafa meletakkan tajuk “ Perkara Yang Berhubungan Dengan Hadith Qudsi”, barulah beliau menyatakan tajuk-tajuk kecilnya iaitu [12] :

a) Beberapa Perintah Allah Kepada HambaNya
b) Tiada Kurang Kerajaan dan Kekayaan Allah
c) Segala Amal Dihitung Dan Disempurnakan
d) Petunjuknya

4. Beliau menggunakan gaya bahasa yang boleh difahami, tepat dan padat. Berikut adalah contohnya sewaktu beliau menghuraikan hadith yang kedua ; “Perkara Kedatangan Malaikat Untuk Mengajarkan Urusan Agama” berkenaan Rukun Islam.

“ Seluruh alam sekelian makhluq adalah terjadi menurut kehendak dan qudrat Allah. Sebab itu, tidak ada dari kejadian alam dan perjalanan makhluq yang dapat menyimpang dari peraturan yang ditetapkan, semuanya Islam dalam ertikata tunduk pada kekuasaannya. Sebagai contoh, lihatlah kepada matahari dan bulan yang beredar menurut garisan perjalanan yang lebih dahulu telah diaturkan Allah. Dan perhatikanlah tumbuh-tumbuhan, tumbuhnya sebatang pokok hingga menerbitkan buahnya yang manis atau masa adalah menurut ketentuan yang ditetapkan juga. Kerana tanpa menurut garisan dan ketentuanNya itu menyebabkan kerosakan alam dan kebinasaan segala yang berkaitan dengannya. Inilah sebagai contoh bahawa makhluq di dalam alam ini mesti tunduk kepada Allah demi keselamatan dirinya dan kejadian lainnya.” [13]

5. Beliau menghuraikan sesuatu hadith berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an, hadith-hadith, kata-kata sahabat dan pandangan para ulama yang berkaitan.

i) Contohnya dalam menerangkan kepentingan ikhlas yang menjadi jiwa sesuatu amal sebagaimana fiman Allah di dalam Surah al-Bayyinah, ayat 5 yang berbunyi [14] :

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Maksudnya : “Dan tidak diperintahkan mereka melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan agam keranaNya, dengan menjauhi kesesatan, dan (supaya) meeka mendirikan sembahyang dan membeikan zakat, kerana yang demikian itulah agama yang lurus.”



ii) Beliau membawakan hadith Nabi tentang riya sejenis syirik yang paling halus sebagaimana sabdanya [15]:
أخوف ما أ خاف عليكم الشرك الأصغر, فسئل عنه ققال الرياء – رواه أحمد
Maksudnya : “Yang amat kutakuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil (halus). Kemudian ditanya mengenainya, lalu baginda berkata : Itulah riya’.”

iii) Beliau membawakan kata-kata Ibn Mas‘ud dalam menjelaskan hadith yang pertama yang berkaitan dengan niat - Ibn Mas‘ud berkata : “ Kami menamakan orang itu dengan muhajir Ummi Qais, iaitu seorang yang berhijrah kerana Ummu Qais dan bukan kerana Allah dan RasulNya”.[16]

iv) Beliau membawakan pandangan Harith al-Muhasabi( ‘ulama tasawwuf yang tekemuka di Baghdad) dalam menjelaskan pengertian ikhlas dan riya’. Kata beliau “ Ikhlas itu ialah engkau maksudkan taat kepada Allah dan engkau tidak memerlukan kepada yang lainnya. Riya’ itu ada 2 macam, pertama: engkau memaksudkan taat kepada manusia dan kedua: engkau memaksudkannya kepada manusia dan kepada Allah. Kedua-duanya memusnahkan ‘amal.” [17]

6. Beliau mengakhiri perbahasan di dalam sesebuah hadith dengan petunjuk hadith. Contohnya di dalam mengakhiri perbahasan hadith yang ke-11 di bawah tajuk “ Perkara Yang Makan Yang Baik dan Doa”, beliau menyebut petunjuk hadith ini adalah seperti berikut [18] :
a) Menujukkan kepada wajibnya orang-orang yang beriman supaya makan dan minum dari makanan dan minuman yang halal-yang halal ialah yang baik;iaitu menurut hukum, faedah dan khasiat yang ada padanya serta memakai pakaian yang halal. Dan wajib pula mereka mendapatkan yang halal itu dengan jalan yang halal atau dengan usaha yang diharuskan.
b) Menunjukkan dengan tegas, bahawa doa orang yang makan minumnya dan pakainnya haram tidaklah diterima Allah. Kerana orang itu sebenarnya orang yang kotor.


7. Ustaz Mustafa sebelum memulakan penjelasan tentang sebuah hadith, beliau akan mendatangkan matannya yang asal di dalam bahasa Arab. Kemudian beliau akan membawakan terjemahannya. Selepas itu, ia akan diikuti dengan dua tajuk kecil iaitu syarahan hadith dan nilaian hadith. Biasanya syarahan hadith akan menyebutkan siapakah sahabat yang meriwayatkan hadith tersebut daripada Nabi dan siapa pula yang meriwayatkan hadith tersebut daripada sahabat. Syarahan hadith juga akan menyebutkan secara ringkas latarbelakang sahabat yang meriwayatkan sesebuah hadith daripada Nabi dan ia tidak akan diulang sekiranya sahabat yang sama meriwayatkan hadith yang lain. Contohnya di dalam syarahan hadith yang ketiga di bawah tajuk “Perkara Yang Berkenaan Dengan Sendi Agama Islam”

Syarahannya : Hadith tersebut diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar iaitu Abu ‘Abd al-Rahman ‘Abdullah Ibn al-Khattab. Beliau seibu dengan Hafsah iaitu Zainab binti Maz‘un, saudara perempuan dari ‘Uthman Ibn Maz‘un. Ibn ‘Umar memeluk Islam di Mekah bersama ayahnya sewaktu beliau masih kecil lagi. Setelah itu beliau berhijrah ke Madinah beserta ayahnya.

Di waktu terjadi peperangan Tabuk, beliau tidak diperkenankan turut berperang kerana umurnya masih muda. Tetapi dalam peperangan Khandaq beliau ikut sama berperang dengan umat Islam. Begitu juga dalam peperangan-peperangan yang lainnya. Banyak ahli hadith meriwayatkan hadith Rasulullah saw daripada beliau, iaitu sebanyak 1630 hadith. Beliau adalah termasuk salah seorang sahabah yang banyak meriwayatkan hadith. Juga beliau adalah seorang sahabah yang sangat kuat mengikuti sunnah Rasulullah saw dan sangat banyak dermanya, kadang-kadang sampai 300 dirham yang disedeqahkan dalam satu masa. [19]

Sementara itu, nilaian hadith pula biasanya mengandungi manfaat dan faedah yang diperolehi daripada sesuatu hadith. Contohnya, di bawah tajuk yang sama seperti di atas, Ustaz Mustafa menyatakan :

Nilaiannya : Imam Nawawi berkata bahawa hadith ini terhitung satu hadith yang sangat besar nilainya, yang menerangkan dasar-dasar agama Islam dan asas-asas hukumnya. Kerana itu, beliau menjadikan hadith ini salah satu daripada hadith 40 yang harus dipelajari oleh umat Islam. Sementara itu, Imam Bukhari sendiri memasukkan hadith ini ke dalam kitab (Iman) untuk menerangkan bahawa Islam dijadikan nama bagi pekerjaan, dan bahawa Islam dan Iman itu kadang-kadang satu pengertian. [20]

8) Beliau akan menyatakan darjat hadith yang dicatatkan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya berkenaan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidhi.. Manakala hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dinyatakan begitu sahaja tanpa penjelasan darjat hadith kerana diketahui umum, bahawa hadith yang diiwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim diambil daripada kitab Sahih mereka yang mengandungi hadith-hadith sahih.



2.4 Kesimpulan

Setelah penulis meneliti kitab ini, dapatlah penulis membuat suatu kesimpulan, bahawasanya kitab Hadith 40 (Terjemhan dan Syarahnya) amat bermanfaat bagi umat Islam khusunya di negara ini dalam menyusuri sunnah Rasulullah saw. Di dalamnya bukan sahaja terkandung pengenalan ringkas tentang ilmu Mustalah Hadith, tetapi apa yang lebih penting adalah huraian dan penjelasan kepada 42 buah hadith di dalam bahasa Melayu yang banyak pengajaran dan faedahnya. Penulis merasakan kitab ini di antara kitab hadith yang terbaik di dalam Bahasa Melayu selain kitab-kitab yang lain.Di samping itu, penulis juga mendapati Ustaz Mustafa Abdul Rahman merujuk kepada beberapa kitab muktabar dalam menyusun kitabnya ini [21]. Di antaranya ialah :

a) Kitab-kitab Mustalah Hadith
1. Miftah al-Sunnah oleh Muhammad ‘Abd al-‘Aziz al-Khauli
2. Syarh al-Dibaj al-Madhahib oleh Syams al-Din Muhammad Hanafi al-Tabarzi
3. Minhaj Zawi al-Nazr oleh Muhammad Mahfuz Ibn ‘Abd Allah al-Tirmidhi
4. Ithna al-Mutalib oleh Muhammad Ibn Sayyid Darwis
5. Tadhkirat al-Mawdu‘at oleh Muhammad Tahir ‘Ali al-Hindi


b) Kitab-kitab hadith dan lain-lain
1. Syarh Matn al-Arba‘in al-Nawawiyyah oleh Imam Nawawi
2. Fath al-Mubin Li Syarh al-Arba‘in oleh Ahmad Hajr Haithami
3. Al-Majalis al-Saniyyah oleh Ahmad Ibn Syeikh Hajazi
4. Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hukm oleh Ahmad Rajab al-Baghdadi
5. Miftah al-Khatabah wa al-Wa‘iz oleh Muhammad Ahmad al-Adwi
6. Al-Syarh al-Jadid li Jawhirah al-Tawhid oleh al-Adwi
7. al-Dar al-Nadid oleh Ahmad Yahya al-Syafi‘i
8. Aqidah al-Muslim oleh Muhammad al-Ghazali
9. Fatawa al-Imam al-Nawawi oleh ‘Alauddin Ibn al-‘Attar
10. al-Halal wa al-Haram fi al-Islam oleh Yusuf Qaradawi
11. Ruh al-Din al-Islami oleh ‘Afif ‘Abdul Fattah Tabbarah





Bibiliografi

1. Latihan Ilmiah, Asmidar Mohd. Dalan, Metodologi Mustafa Abdul Rahman Dalam Pentafsiran Surah al-Nahl, sesi 2002/2003.

2.Mustafa Abdul Rahman, (1989) , Kitab Hadith 40 ( Terjemahan dan Syarahnya), Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur.

3. al-Nawawi, Imam Muhyiddin Abu Zakaiyya Yahya Ibn Sharif, Syarh Matn al-Arbai‘in li al-Nawawiyyah.
[1] Biografi Ustaz Mustafa Abdul Rahman diambil daripada Latihan Ilmiah, Asmidar Mohd. Dalan, Metodologi Mustafa Abdul Rahman Dalam Pentafsiran Surah al-Nahl, sesi 2002/2003.
[2] Haji Abdullah Fahim merupakan datuk kepada Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
[3] Mustafa Abdul Rahman, (1989) , Kitab Hadith 40 ( Terjemahan dan Syarahnya), Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, hlm. 1
[4] Ibid
[5] Ibid, hlm. 3
[6] Ibid, hlm. 4
[7] Ibid, hlm. i
[8] Ibid, hlm. ii
[9] Ibid, hlm. 52-53
[10] Ibid, hlm. ii-xi
[11] Ibid, hlm. 57-70
[12] Ibid, hlm. 278-287
[13] Ibid, hlm. 75-76
[14] Ibid,hlm. 59
[15] Ibid, hlm. 65
[16] Ibid, hlm. 61
[17] Ibid, hlm. 65
[18] Ibid, hlm. 187-188
[19] Ibid, hlm. 119-120
[20] Ibid, hlm. 120
[21] Ibid, hlm. 442

24 Mei 2007, 7 Jamadil Awal 1428,
11.15 pagi, Malaysia Timur

http://disertasi.blogspot.com/2007/05/disertasi-ilmiah-1.html

Thursday, May 01, 2008

Berkatkah Ilmu Kita?

Bismillahhirrahmanirrahim

Renugkanla kata-kata seoarang tokoh ulama ini, iaitu Syaikh Muhammad Salih al-Uthaimin Rahimahullah.

Anda akan mendapati sebahagian manusia telah dikurniakan oleh Allah ilmu yang luas, namun masih kelihatan seperti orang yang 'buta huruf', tidak nampak pengaruh ilmu itu pada dirinya, tidak juga di dalam ibadah-ibadahnya, tidak di dalam akhlaknya, tidak di dalam perilakunya, dan tidak pula di dalam pergaulannya diantara sesama manusia. Terkadang ia menyalah gunakan ilmu tersebut untuk lebih membanggakan diri di hadapan hamba-hamba Allah, merasa tinggi dan merendahkan mereka. Dia tidak menyedari bahawasanya yang telah mengurniakan ilmu kepadanya adalah Allah 'Azzawajalla, dan sungguh jika Allah berkehendak, nescaya akan menjadikannnya seperti layaknya orang yang jahil.

Anda akan mendapati, bahawa Allah telah mengurniakan kepadanya ilmu, akan tetapi manusia tidak dapat mengambil manfaat daripada ilmunya, baik melalui pengajaran, pengarahan atau nasihat, dan tidak juga melalui tulisan. Bahkan ilmunya hanya terbatas untuk dirinya sendiri. Allah tidak memberkahinya di dalam ilmu itu, dan tidak diragukan lagi, ini bererti hilangnya kurnia yang besar. Padahal ilmu itu merupakan pemberian Allah Subhanahuwata'ala yang paling membawa berkat bagi seorang hamba, sebab ilmu itu jika engkau ajarkan kepada orang lain dan engkau sebarkan di tengah masyarakat, maka engkau akan mendapatkan pahala atas itu semua dari beberapa sisi, iaitu:

1) Bahawa dengan menyebarkan ilmu yang Anda miliki bererti Anda telah menyebarkan agama Allah 'Azzawajalla, sehingga Anda termasuk dari para mujahidin. Seorang Muslim yang berjihad di jalan Allah, dia telah menakluk negeri demi negeri hingga tersebarlah agama Allah di wilayah itu. Adapun Anda adalah pembuka hati-hati yang tertutup melalui ilmu Anda tersebut, sehingga syari'at Allah 'Azzawajalla menyebar luas.

2) Di antara keberkatan dari penyebaran ilmu dan pengajarannya adalah bahawa dalam penyebaran ilmu tersirat penjagaan terhadap syaria'at Allah dan perlindungan terhadapnya. Tanpa ditunjang dengan ilmu, maka syari'atnya ini tidak akan terjaga, syari'at ini terjaga dengan perantaraan mereka yang Allah kurniakan petunjuk berupa ilmu yang bermanfat. Apabila Anda telah menyebarkan ilmu itu, dan masyarakatpun mudah mengambil manfaat darinya, maka penjagaan terhadap syria'at Allah dan pemeliharaannya akan terlaksana (dengan baik).

3) Dengan menyebarkan ilmu bererti Anda berbuat baik kepada orang yang telah Anda ajari (ilmu). Sebab Anda telah menjadikannya mengerti terhadap agama. Apabila orang itu beribadat kepada Allah dgn bashirah (ilmu yg benar), maka Anda akan mendapat pahala seperti pahala yang dia dapat. Kerana Andalah yang telah menunjukkannya kepada kebaikkan itu, sedangkan orang yang menunjukkan kepada sesuatu kebaikan, maka ia seperti pelakunya. Jadi ilmu yg disebarluaskan merupakan kebaikkan dan keberkatan bagi penyebar dan penerimanya.

4) Sesungguhnya dengan menyebarkan ilmu dan mengajarkannya, seseorang akan bertambah ilmunya. Ilmu seseorang akan bertambah dengan diajarkan orang lain, sebab ia akan mengingat kembali apa yg telah dihafalnya dan ia merupakan pembuka bagi ilmu yang belum dihafal. Betapa banyak manfaat yang diperoleh seorang 'alim(guru) dari para muridnya, mereka terkadang datang mengemukakan makna-makna yang tidak pernah terlintas di dalam benaknya, sehingga ia dapat mengambil manfaat daripada muridnya. Padahal dia adalah pengajar mereka dan ini merupakan suatu kenyataan.

Oleh kerana itu, selayaknya bagi para pengajar, bila ia mengambil manfaat dari muridnya, dan muridnya menemukan ilmu, hendaklah ia selalu memotivasikan murid tersebut, dan mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya. Jangan seperti anggapan sebahagian orang bahawawsanya jika seorang murid telah menemukan dan menjelaskan ilmu yang belum diketahuinya, seorang guru merasa tersinggung sambil mengatakan:" Ini anak hingusan yang mengajar orang dewasa," sehingga dia(murid) tersinggung dan berusaha menghindarkan dirinya unutuk berdiskusi dengannya. Dia khuatir anak itu akan menyebabkannya ke dalam masalah yang belum diketahui. Ini merupakan sikap yang bersumberkan dari keterbatasan ilmu dan akalnya.

Sebab apabila Allah telah menganugerahkan kepada Anda muid-murid yang mengingatkan persoalan yang Anda lupa, dan merekapun membukakan untuk Anda ilmu yang belum Anda ketahui, maka hal itu merupakan sebahagian daripada nikmat Allah. Dan inilah buah daripada penyebaran ilmu yang akan terus bertambah jika Anda mengajarkannya. Sebagaimana ungkapan seorang yg membandingkan antara ilmu dan harta, ia berkata mengenai ilmu:

(ilmu) akan bertambah denagn banyak mengajarkannya,

dan akan berkurang jika engkau menahannya lalu mengekangnya.

Jika engkau mengekang ilmu itu, maka ia tidak akan berkembang. Dan jika ia engkau tahan, maka ia akan berkurang, yakni engkau bakal melupakannya. Akan tetapi, jika engkau menyebarkannya ia senantiasa akan bertambah.

Sepatutnya bagi seseorang dalam menyebarkan ilmu agar menerapkan sikap hikmah (bijaksana)dalam mengajar, dengan menyampaikan kepada murid-muridnya masalah-masalah yang sesuai dengan kadar kemampuan akal fikiran dan tidak membebabani mereka dengan permasalahan yang sekiranya memberatkan. Bahkan mendidik mereka dengan ilmu setahap demi setahap.

Oleh kerana itu, ada sebahagian orang yang memberikan definisi tentang seorang 'alim yang rabbani (memiliki jiwa pendidik), iaitu seorang 'alim yg mengajarkan kepada manusia dimulai dari ilmu-ilmu yang ringan sebelum menginjak ke yang lebih sulit dan kompleks. Kita semua mengetahui bahawa suatu bangunan tidak akan berdiri teguh begitu sahaja dengan megahnya di atas bumi, tetapi bangunan itu dibangun oleh ahlinya secara bertahap hingga bangunan tersebut sempurna. Begitu halnya dengan seorang pengajar, selayaknya ia memperhatikan kemampuan berfikir para anak didiknya sehingga dia hanya menyampaikan kepada anak didiknya ilmu yang mampu mereka terima dengan akal mereka. Oleh kerana itu manusia diperintahkan supaya berbicara dengan orang lain sesuai dengan pemahaman lawan bicaranya.

Ibnu Mas'ud Radiallahhu'anh berkata: "Sungguh tidaklah kamu berbicara dengan sekelompok masyarakat dengan sesuatu pembahasan yg tidak mampu mereka cerna, kecuali hal itu akan menjadi fitnah bagi sebahagian mereka (kesalahfahaman)."

Demikian pula, hendaklah seorang pengajar mencurahkan perhatian terhadap pokok-pokok dan kaedah-kaedah agamanya (ilmu ushul dan alat), sebab keduanya itu merupakan fondasi sesuatu ilmu.

Para ulama mengatakan:"Barang siapa yang tidak mendapatkan pokok-pokok sesuatu ilmu (ilmu usul), maka ia akan jauh dari keberhasilan, yakni tidak akan sampai pada tujuan akhirnya. Maka seorang pendidik dianjurkan supaya mengajarkan kepada murid-muridnya pokok-pokok dan kaedah-kaedah ilmu yang darinya akan muncul masalah-masalah yang bersifat furu'iyyah (cabang). Sebab orang yang mempelajari ilmu dari permasalahan yang bersifat cabang, nescaya dia tidak dapat memberikan jawapan yang benar bila dihadapkan kepada sesuatu permasalahan yang pelik untuk diketahui hukumnya, kerana tidak memiliki dasar.


Sumber: Syarah Doa Qunut Syaikh Muhamad Shalih al-Uthaimin. (m/s 28-35)
Pustaka Imam Asy-Syafi'i

Sunday, April 27, 2008

...Assalamua3alaikum...


Bimillahhirrahmanirrahim

Perjalanan menuju mencapai matlamat di dunia dan akhirat..bermulalah sebuah perjalanan..