Wednesday, June 10, 2009

Ulasan Ringkas: Ketegasan 'Aqidah Keluasan Fiqh.

Bismillahhirrahmanirrahim

Alhamdulillah, dapat juga aku menghadirkan diri, di Masjid Wilayah untuk mendengar pidato yang bertajuk "Ketegasan 'Aqidah Keluasan Fiqh" yang disampaikan oleh mantan Mufti Perlis, Dr Muhamad Asri Zainul Abidin. Turut hadir tetamu kehormat adalah mantan Perdana Menteri ke empat Dr Mahathir Muhamad, dan Datuk Shahidan Kasim untuk memperdengarkan pidato beliau.

Penerangan yang amat bernas, dan selalu diulang-ulang di dalam kuliah beliau. Walaupun begitu, bagi aku tidak menjemukan. Perkara yang dibangkitkan antaranya sejarah kemunculan Syiah dan Khawarij. Kalau dilihat munculnya puak-puak tersebut disebabkan mereka mempolitikkan Islam dan bukan memandu kepada untuk mengIslamkan politik.

Disebabkan masalah politik ketika pemerintahan Khalifah 'Ali, maka timbul puak-puak ini dimana diantara mereka ada yang terlalu taksub dengan pemerintahan Khalifah hingga enggan menta'ati perintah dan arahan Khalifah, yang disebelah pihak lain pula terlalu taksub menentang cara pemerintahan Khalifah hingga 'mencabut tangan' daripada menta'ati pemerintah. Ketika itulah umat Islam mula berpecah belah.

Maka timbullah iktikad-iktikad atau bid'ah di dalam agama. Puak Khawarij beriktikad di mana pelaku dosa besar menjadi kafir. Syiah pula terlalu mengagungkan keluarga Nabi, dan keluarga nabilah yang lebih layak dalam khalifah.

Antara isu lain yang sentiasa disebutkan oleh beliau adalah sistem pengurusan Mahkamah Syari'ah. Pengurusan yang tidak efektif, telah mencontengkan arang diwajah agama Islam, dan menyebabkan orang bukan Islam dan kemungkinan besar orang Islam sendiri menyangka itulah Islam. Bukan! itu bukan Islam, itu adalah disebabkan pengurusan oleh umat Islam itu sendiri.

Pegawai agama juga begitu gemar mencegah kemungkaran yang tersembunyi, apabila mendapat laporan ada pasangan yang sedang berkhalwat, dengan segera melakukan pencegahan. Tetapi apabila ada isteri yang mengadu kepada pegawai agama, bahawasanya dia dipukul suami, tidak pula dicegah malah menasihati isteri yang malang itu, "sabarlah anda mendapat pahala". Sepatutnya pegawai agama itu berjumpa dengan suami itu dan mengatakan "anda telah melakukan kezaliman dengan memukul isteri anda!". Tetapi itulah realiti zaman ini, pegawai agama lebih gemar mecari-cari kemungkaran yang tersembunyi daripada kemungkaran yang terang-terangan.

Masih terkesan dengan cara penceritaan beliau, ketika menceritakan peristiwa Perang Jamal. Hampir menitis air mata aku, kerana begitu sayangnya para sahabat ketika itu walaupun mereka terpaksa berperang sesama sendiri. Iktibar yang dapat diambil, apabila peperangan itu sudah selesai, mereka kaum mukminin bersedih atas kematian saudara mereka yang mereka perangi. Tercetusnya peperangan itu apabila segelintir tentera Khalifah Saidina 'Ali telah menyerang tentera Ummul Mukminin Saiditina 'Aisyah pada waktu malam. Maka tercetuslah peperangan sesama saudara Islam sendiri. Betapa pentingnya untuk kita menta'ati pemerintah walaupun kita tidak bersetuju dengannya(melainkan bertentangan dengan Syara').

Video Rakaman:
Pidato Perdana

No comments:

Post a Comment

Biarlah dgn berilmiah...